Sekiranya penglihatan tiba-tiba menjadi kabur, tidak nampak langsung atau objek dilihat bengkang-bengkok, ia adalah petanda seseorang itu mengalami penyakit Kemerosotan Makular berkaitan Usia (AMD).
Dianggarkan 20 juta orang di seluruh dunia mengalami AMD manakala kira-kira 46,000 rakyat Malaysia yang melebihi usia 45 tahun menghidap penyakit mata ini dan berisiko menjadi buta secara kekal.
Pakar Oftalmologi Perubatan Retina dan Radang Mata, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ayesha Mohd. Zain berkata, mereka yang berisiko adalah berusia lebih 50 tahun, menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi tidak terkawal dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok.

“Makular adalah titik fokus urat mata atau retina yang terletak di bahagian mata. Retina adalah struktur mata yang menyerap cahaya dan otak menukarnya menjadi penglihatan.
“Bahagian tengah retina dipanggil makular iaitu pusat tumpuan penglihatan paling penting. Apabila membaca kita menggunakan mokular dan melihat warna juga menggunakan mokular,” terangnya.
Katanya, degenerasi atau kemerosotan ini berlaku pada mokular, menyebabkan pesakit boleh hilang penglihatan di tengah mata. Sebagai contoh, apabila pesakit melihat seseorang, pesakit tidak dapat melihat wajah orang itu tetapi hanya dapat melihat tudung atau bajunya seperti baju berwarna merah.
Ada pesakit pula akan mengalami penglihatan kabur saja dan sesetengah pesakit pula nampak imej bengkang- bengkok. Sebagai contoh, jika sesuatu objek seperti tiang lampu itu lurus tetapi mereka lihat ia bengkok di bahagian tengahnya manakala bahagian bawahnya lurus.
“AMD terbahagi kepada beberapa tahap iaitu tahap kering dan basah.
Bagi AMD tahap kering, kadangkala pada awalnya pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Namun apabila mata diperiksa, doktor boleh nampak di dalam lapisan retina iaitu apabila keratan rentas dalam urat mata, sudah ada deposit iaitu bahan kumuh retina terkumpul pada lapisan retina.
“Bahan kumuh retina sepatutnya dibuang tapi bagi orang yang berusia lanjut, bahan kumuh ini terkumpul di lapisan retina dan menjadi toksid yang dipanggil jenis kering. Kalau ia berada lama di situ, ia akan menyebabkan akan penipisan pada makular,” katanya.
AMD Jenis basah
Dr. Ayesha berkata, apabila AMD berada pada peringkat basah, toksin yang terkumpul tadi akan menyebabkan mata menghasilkan satu bahan kimia dipanggil faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF).
“VEGF ini akan menggalakkan pertumbuhan salur darah yang tidak normal di bahagian belakang mata. Apabila salur darah tidak normal ini tumbuh, ia akan menyebabkan pendarahan di lapisan urat mata. Ini seterusnya menyebabkan pesakit tiba-tiba tidak dapat melihat.
“Kalau salur darah ini pecah, pesakit juga boleh hilang penglihatan. Sekiranya salur darah ini bocor, cecair keluar daripada salur darah dan menyebabkan bengkak, seterusnya objek yang dilihat akan kelihatan bengkang bengkok,” katanya.
Katanya lagi, polip atau belon juga boleh terbentuk pada salur darah dan apabila ia pecah, boleh menyebabkan banyak pendarahan pada urat mata. Pendarahan yang berlaku pada urat mata ini juga boleh masuk ke bola mata, seterusnya menyebabkan pesakit tidak dapat melihat terus atau buta.
Risiko AMD
AMD lazimnya berlaku dalam kalangan berusia lebih 50 tahun yang berdepan risiko lebih tinggi. Selain itu, mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap AMD juga berisiko mengalaminya.
Dr. Ayesha berkata, faktor usia dan sejarah keluarga tidak dapat diubah bagi mencegah AMD daripada berlaku tetapi gaya hidup kurang sihat seperti merokok boleh menyebabkan berlaku AMD, adalah risiko yang boleh diubah.
“Pesakit AMD yang menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal,berisiko mengalami pendarahan lebih teruk berbanding mereka yang tidak menghidap tekanan darah tinggi. Justeru, golongan ini perlu berhati-hati untuk mengawal tekanan darah mereka,” katanya.
Rawatan suntikan
AMD boleh dirawat tetapi rawatan sebaiknya perlu dijalankan di peringkat awal bagi mengelakkan kesan yang berlarutan sehingga kehilangan sebahagian atau penglihatan sepenuhnya.
“Sekiranya pesakit sudah mendapat pendarahan teruk atau sudah berlaku parut pada retina, tidak banyak yang boleh dilakukan. Mungkin suntikan boleh diberi untuk melihat berapa banyak penglihatan boleh dikembalikan. Penglihatan mungkin tidak dapat kembali normal 100 peratus.
“Rawatan penyakit AMD adalah pemerhatian saja bagi peringkat awal. Pesakit digalakkan makan makanan berkhasiat seperti makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, protein dan omega. Semua khasiat ini membantu saraf mata lebih sihat dan melindungi saraf mata.
“Sekiranya AMD sudah berlaku, rawatan perlu bagi mengawalnya daripada menular kepada tahap yang teruk. Sekiranya pesakit sudah mengalami pendarahan dalam mata, atau bengkak urat mata disebabkan AMD, rawatan membabitkan suntikan anti VEGF, bagi menghentikan pertumbuhan salur darah baharu,” katanya.
Katanya lagi, suntikan ini juga bertujuan mengecutkan salur darah yang tumbuh supaya ia tidak pecah dan berlaku kebocoran cecair yang masuk ke dalam mata.
Bagaimanapun, rawatan ini bukan dijalankan sekali saja tetapi perlu beberapa sesi suntikan sekurang-kurangnya tiga kali iaitu sebulan sekali. Pemantauan ke atas mata pesakit juga akan dilakukan dan jika perlu, suntikan akan dilakukan lagi.
“Terdapat juga rawatan laser tetapi ia bukan untuk semua pesakit. Sebaliknya ia lebih sesuai untuk pesakit yang mempunyai penyakit polip iaitu salur darah yang menjadi belon. Ini kerana kadangkala suntikan tidak berkesan ke atas polip, “ katanya.
Dr. Ayesha berkata, mereka yang berisiko perlu memastikan mereka menjaga kesihatan mata. Ini kerana kos rawatan AMD agak tinggi. Suntikan anti VEGF ini juga terdapat dalam pelbagai jenis. Secara purata kos setiap kali suntikan boleh mencecah RM1,000 sehingga RM3,000.
“Nasihat saya bagi mencegah penyakit AMD adalah mengamalkan gaya hidup sihat dan berhenti merokok kerana ia satu-satunya risiko yang boleh diubah. Sekiranya ada penyakit darah tinggi, kawal tekanan darah, supaya jika pendarahan berlaku, ia tidak begitu teruk.
“Amalkan juga pemakanan seimbang. Makan buah-buahan berwarna-warni seperti epal, pisang, tembikai dan strawberi. Tidak perlu makan vitamin yang mahal, jika kita kawal pengambilan makanan kita. Makan juga sayur hijau dan berwarna-warni seperti lobak merah dan tomato,” katanya.
Dr. Ayesha juga menasihatkan supaya makan ikan berlemak yang kaya dengan Omega. Omega adalah lemak berkhasiat daripada ikan yang baik untuk mata. Ikan yang kaya omega seperti patin dan salmon. Selain itu, lakukan senaman secara berkala.
Pastikan anda tidak mendedahkan mata di bawah terik matahari. Pakailah cermin mata hitam apabila berada di tempat panas seperti di tepi pantai atau ketika keluar rumah bagi mengurangkan sinar ultra ungu pada mata. – UTUSAN










