Universiti Meritus catat 100 peratus graduan bekerja

Universiti Meritus catat 100 peratus graduan bekerja

Majlis Graduasi Universiti Meritus di Halim Mazmin Place, Jalan Utusan baru-baru ini. – utusan/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Meritus membuktikan kualiti pendidikannya apabila merekodkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, khususnya dalam sektor maritim dan penerbangan dengan 100 peratus kesemua penuntut berjaya memperoleh pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Pengasasnya, Tan Sri Dr. Halim Mohammad berkata, kejayaan ini didorong oleh pendekatan universiti di dalam industri yang memfokuskan kepada bidang kritikal negara, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim yang masih kekurangan tenaga mahir.

“Keunikan kami terletak pada pendedahan industri sebenar. Sebagai contoh, sekolah penerbangan kami, HM Aerospace telah melahirkan lebih 2,500 juruterbang komersial sejak 20 tahun lalu yang kini berkhidmat di syarikat penerbagan global seperti Malaysia Airlines, Singapore.

Airlines dan Qatar Airways,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Konvokesyen Universiti Meritus kali ke-2, di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim dengan 90 peratus dagangan melalui laut, keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang ini amat mendesak.

“Alhamdulillah, bagi setiap graduan kami yang menamatkan pengajian, semuanya sudah mendapat pekerjaan. Ini adalah bukti nyata di depan mata.

“Kursus kami berbeza kerana saya sendiri seorang pelaut yang berpengalaman selama 11 tahun, justeru itu, segala ilmu dan pengalaman industri terus diterap ke dalam silibus pembelajaran,” katanya.

Katanya, pemilihan kerjaya amat penting agar graduan tidak terperangkap dengan gaji rendah setelah tamat belajar, sebaliknya mampu menanggung keluarga dengan selesa menerusi pendapatan tinggi.

“Sasaran kami adalah melahirkan graduan berpendapatan tinggi, bukan sekadar masuk universiti tetapi terpaksa menerima gaji rendah,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat, tempoh pengajian bagi ijazah sarjana muda dalam bidang maritim mengambil masa selama tiga tahun.

 

Pelajar yang memiliki lima kredit boleh menyertai program Asasi selama satu tahun sebelum ke peringkat ijazah manakala laluan Diploma

pula membolehkan pelajar menamatkan ijazah dalam tempoh lebih singkat.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Canselor, Mohd Al Amin Ahmadul, 25, berkata, kejayaannya menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Kewangan (Strategi Pelaburan) dalam tempoh tiga tahun adalah hasil sokongan padu ibunya, tenaga pengajar dan rakan-rakan.

Katanya yang kini bekerja sebagai Eksekutif Akaun di RSM Singapura, program di Meritus sangat mencabar kerana menekankan aplikasi dunia sebenar, yang menuntutnya bijak membahagikan masa antara tugasan akademik, projek fakulti, dan tanggungjawab sebagai wakil pelajar.

“Universiti Meritus bukan sekadar tempat belajar akademik, tetapi medan membentuk ketahanan mental, keyakinan diri dan kepimpinan yang diperlukan untuk berjaya.

“Nasihat saya kepada pelajar di luar sana, jangan takut untuk bermula walaupun jalan belum jelas,” katanya.
Sementara seorang graduan Universiti Meritus Nur ‘Aifaa Syamimi Shuhaimi, 25, sanggup meninggalkan dua ijazah, demi mengejar impian sebagai juruterbang

Meski pun tidak ramai yang sanggup meninggalkan laluan akademik selesa sehingga ke peringkat sarjana untuk memulakan hidup di titik mula, namun keberanian itu menjadi pilihan penerima Anugerah Pengerusi, Nur ‘Aifaa nekad meninggalkan bidang Kejuruteraan Kimia demi mengejar impian sejak kecil menjadi juruterbang.

Nur Aifaa berkata, keputusan menukar bidang bukanlah langkah mudah, sebaliknya hadir setelah dia menerima tawaran sebagai Kadet Pilot Malaysia Airlines, peluang yang disifatkannya sebagai ‘bukan mudah untuk datang kembali’.

“Walaupun saya memiliki kelayakan akademik kukuh dalam Kejuruteraan Kimia, tetapi hati saya lebih terpaut pada dunia penerbangan. Saya tak mahu menyesal pada masa depan kerana melepaskan impian saya,” katanya.

Mengimbas perjalanan di sekolah penerbangan, Nur Aifaa berkata, cabaran paling besar sepanjang pengajian ialah mengejar masa untuk menamatkan 15 subjek dalam tempoh 10 bulan sebelum memulakan latihan terbang bagi mengumpul 200 jam pengalaman.

“Keletihan emosi dan fizikal itu biasa. Apabila penat, berhenti sekejap, beri masa kepada diri dan kembali lebih kuat,” katanya.

Pada awalnya, keluarganya merasakan agak rugi apabila dia melepaskan laluan akademik yang sudah jauh, namun akhirnya mereka akur memahami impian sebenar Nur Aifaa dan menjadi penyokong paling kuat sepanjang latihannya.

Menurut Nur Aifaa lagi, latar belakang akademik dalam Kejuruteraan Kimia sebenarnya menjadi kelebihan dalam dunia penerbangan, kerana asas bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang kukuh, kemampuan memahami sistem kompleks, disiplin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat dan pengurusan risiko semua itu sudah sebati sebelum memasuki dunia penerbangan

“Keselamatan adalah keutamaan dalam penerbangan dan disiplin itu memang terbentuk sejak belajar kejuruteraan,” katanya.

Kini setelah berjaya memperoleh lesen penerbangan, Nur Aifaa menyimpan impian untuk mengemudi pesawat badan lebar seperti Airbus A330 dan A350 serta berhasrat menyambung pengajian pada masa depan. Selain itu, dia juga mahu kisahnya menjadi inspirasi kepada mereka yang takut menukar haluan hidup.

“Teruskan mencari ilmu dan teruskan mengejar cita-cita. Usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pengerusi, Wardina Zulaikha Zulkarnain, 25, turut berkongsi kisah kecemerlangannya.

Antara cabaran terbesar bagi dirinya sepanjang pengajian ini adalah engawal motivasi ketika berdepan subjek sukar selain perlu mengurus latihan industri dan projek tahun akhir secara serentak. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN