TQ WULING lancar Bingo EV bermula RM67,800 - Utusan Malaysia

TQ WULING lancar Bingo EV bermula RM67,800

Daniel Ho Wai Ming (dua kanan) bersama Lisa Li (dua kiri) pada majlis pelancaran TQ WULING Bingo EV di Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TQ WULING melancarkan model kenderaan elektrik (EV) terbaharunya, TQ WULING Bingo EV, yang ditawarkan pada harga bermula RM67,800, sekali gus meletakkannya antara EV paling mampu milik di pasaran tempatan.

Hatchback elektrik kompak yang dipasang secara tempatan itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Bingo PRO pada harga RM67,800 dan Bingo MAX pada RM72,800. 

Selepas rebat tunai istimewa, harga atas jalan (OTR) ditawarkan serendah RM62,800 bagi Bingo PRO dan RM67,800 bagi Bingo MAX.

Pelancaran model berkenaan menandakan kemunculan model pertama di bawah jenama TQ WULING, hasil kerjasama strategik antara Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) dan SAIC-GM-Wuling (SGMW).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TCMH, Daniel Ho berkata, pelancaran Bingo EV merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas akses rakyat Malaysia kepada mobiliti elektrik yang mampu milik.

“Sebagai EV pertama yang dipasang secara tempatan di Kilang Pemasangan Tan Chong, Bingo EV mencerminkan komitmen kami dalam memajukan landskap mobiliti elektrik negara berteraskan hampir 50 tahun pengalaman dalam pembuatan dan pemasangan automotif,” katanya pada dalam kenyataan. 

Beliau berkata, gabungan kepakaran pembuatan tempatan dengan teknologi EV bertaraf global membolehkan Bingo EV ditawarkan pada harga berpatutan tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatan.

Model ini turut ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Milky White, Neon Blue dan Lavender Purple, kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam berkontras.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Jabatan Perniagaan Luar Negara SAIC-GM-Wuling, Lisa Li berkata, beliau yakin terhadap potensi pengembangan jenama TQ WULING di Malaysia dan rantau ASEAN.

“Dengan kepakaran kami dalam teknologi EV serta kekuatan pembuatan dan rangkaian pasaran Kumpulan Tan Chong, kami komited menyokong peralihan ke arah mobiliti hijau di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ASEAN kekal sebagai pasaran strategik SGMW, dengan tumpuan utama kepada Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Bagi menarik minat pengguna awal, TQ WULING turut memperkenalkan ‘Bingo’s Fabulous 5 Perks’ bernilai lebih RM12,000 untuk 500 pelanggan terawal, termasuk rebat tunai RM5,000, jaminan bateri EV dan motor pemacu sehingga lapan tahun, ansuran bulanan serendah RM625, pengecas EV rumah dan mudah alih percuma serta faedah insurans EV komprehensif.

Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Wei Sun berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan halangan kos bagi pengguna yang ingin beralih kepada kenderaan elektrik.

“Dengan pakej insentif ini, Bingo EV menawarkan nilai yang menarik dari segi harga, kemudahan pengecasan dan ketenangan fikiran melalui jaminan serta perlindungan menyeluruh,” katanya.

Dari segi prestasi, Bingo EV dikuasakan motor elektrik 50kW dengan tork 150Nm. 

Varian PRO menggunakan bateri 31.9kWh dengan jarak pemanduan sehingga 333 kilometer, manakala varian MAX dilengkapi bateri 37.9kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 410 kilometer bagi satu cas penuh, berdasarkan penarafan CLTC.

Model ini turut dilengkapi sistem bateri MAGIC proprietary SGMW yang menekankan tahap keselamatan tinggi serta menyokong pengecasan pantas DC, membolehkan cas daripada 30 peratus ke 80 peratus dalam kira-kira 35 minit.

Selain itu, Bingo EV menampilkan reka bentuk retro moden, kabin praktikal serta ciri keselamatan menyeluruh termasuk enam beg udara, ABS, ESC dan sistem amaran titik buta, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian di persekitaran bandar.

Tempahan kini dibuka dengan yuran tempahan serendah RM50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN