KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Sissy Iman, mengesahkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor bulan ini.
Sissy atau Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, berkata perkenalan mereka bermula pada awal tahun ini sebelum masing-masing mencapai keserasian untuk melangkah ke fasa lebih serius dalam hubungan.
“Saya akan berkahwin, tetapi tarikh sebenar belum boleh didedahkan bagi menghormati permintaan kedua-dua pihak.
“Pengenalan dengan bakal suami bermula kerana dia seorang doktor. Dia sendiri tidak tahu saya artis kerana tidak menonton televisyen.
“Kami pun tidak bercinta. Hanya kenal sebagai kawan, kemudian tiba-tiba dia mahu bertemu ayah.
“Ingatkan mahu berbincang soal kolaborasi atau perniagaan, rupanya mahu menyatakan hasrat hati. Dia kata paling cepat tiga bulan, paling lambat enam bulan untuk melangkah ke fasa baharu. Terkejut juga, tetapi itulah takdir Tuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Dengan Kamu, di sini, pada Isnin.
Mengulas mengenai karakter jejaka yang berjaya menambat hatinya, penyanyi itu mengakui tersentuh dengan sikap hormat bakal suami terhadap keluarga.
“Saya bukanlah anak yang terlalu baik. Namun, sesiapa sahaja yang ingin rapat atau berkawan dengan saya mesti boleh akrab dengan keluarga.
“Bagi saya, ayah dan ibu adalah keutamaan. Si dia ini lain sikit, dia sangat menghormati keluarga saya,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelancaran lagu Dengan Kamu, Sissy tidak menafikan karya tersebut dihasilkan sempena persiapan menuju hari bahagianya.
“Sebenarnya, ya. Memang Sissy lancarkan untuk itu (perkahwinan) dan untuk sesiapa sahaja yang bakal menjadi pengantin pada hujung tahun ini.
“Boleh guna lagu ini,” ujarnya.
Terdahulu, Sissy menarik perhatian peminat selepas memuat naik beberapa keping foto memperlihatkan dirinya menyarungkan sebentuk cincin, sekali gus menerima pelbagai komen positif daripada warganet. -UTUSAN










