KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberi bayangan bahawa tiada rombakan Kabinet secara besar-besaran sebaliknya akan mengisi kekosongan membabitkan beberapa jawatan menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat keperluan bagi mengisi kekosongan beberapa jawatan menteri namun beliau sedang merancang apa langkah perlu diambil.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan kerana perlu ada keperluan. Rombakan itu kalau ada masa yang panjang, tetapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu tahun setengah.
“Jadi saya tidak fikir akan ada rombakan besar yang dilakukan. Saya sedang merenung apa langkah-langkah perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara MITI, di sini hari ini.
Bulan lalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Selain itu, beberapa menteri yang dilantik ke jawatan berkenaan atas kapasiti Ahli Dewan Negara akan tamat tempoh sebagai senator awal bulan depan seperti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator, iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar juga akan berakhir pada tarikh yang sama.
Namun, ketiga-tiga mereka baru dalam dalam penggal pertama sebagai Ahli Dewan Negara dan dijangka dilantik semula untuk penggal tiga tahun yang berikutnya. – UTUSAN










