PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu ditangguhkan sehingga dasar lengkap digubal secara telus, memenuhi kehendak semua pihak dan memberi peluang kepada komuniti memberikan input sebelum pembentangan bacaan kedua di Parlimen dilakukan.
Penasihat dasar awam kepada Persatuan Kebajikan Kelestarian Pembangunan Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD), Peter Leong berkata, ia wajib ditangguh sehingga memuaskan hati semua pihak.
Ia berikutan hingga kini, pihaknya dimaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapat maklum balas awam sekali sahaja berhubung Rang Undang-Undang tersebut.
Katanya, maklum balas itu hanyalah versi awal yang dikeluarkan secara rasmi pada Mac lalu dan satu-satunya keluaran rasmi diterbitkan adalah versi bacaan pertama di Parlimen.
“Sebagai sebahagian daripada suara komuniti khususnya di Kuala Lumpur, kami tidak diberikan kesempatan untuk mengenal pasti apa-apa kecacatan jelas dalam pindaan untuk memberikan sebarang ulasan.
“Hal ini disebabkan beberapa versi lain telah diterbitkan dan sebahagiannya dengan garis masa yang tidak jelas. Kami tidak tahu kandungan RUU yang akan dibentangkan kali kedua ini sehingga ia dibaca,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, tugas kerajaan memberi jaminan kepada rakyat dalam bahasa paling mudah melalui sesuatu RUU yang hendak dibentangkan.
Semak dan imbang perundangan terletak di Dewan Rakyat kerana Ahli Parlimen mesti berpuas hati RUU itu benar-benar menyokong janji kerajaan kepada rakyat.
“Kami menyeru KPKT mendedahkan rangka kerja proses mereka dalam bentuk jelas dan mudah difahami seperti yang kami lakukan.
“Jika terdapat cara yang lebih baik dan lebih berkesan untuk memastikan kesaksamaan dan keadilan, mereka perlu dedahkan kepada umum dan biarlah itu menjadi janji kerajaan Madani,” katanya.
Katanya, jika diberi peluang, badan bukan kerajaan seperti KLRA+SD berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan pelbagai input bagi membantu KPKT memperincikan rangka kerja legislatif, dasar dan proses untuk pembaharuan bandar yang bertanggungjawab secara sosial.
“Penglibatan komuniti mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tetapi lebih penting ia mesti menunjukkan hasil positif secara nyata. Ia mesti berlandaskan realisme.
“Dalam istilah paling asas, pembaharuan bandar adalah tentang meningkatkan persekitaran kehidupan (dan perniagaan) bandar. Ia mesti dibiayai oleh penciptaan nilai tambahan, dengan margin keuntungan untuk pemaju juga. Ini bermakna peningkatan kepadatan, nisbah plot, jumlah keluasan lantai.
“Pemilik mesti mendapat tawaran adil dan pemaju mendapat margin keuntungan yang munasabah dalam suatu pengiraan secara telus menangkap potensi penuh pembangunan semula,” katanya.
Katanya, penyertaan komuniti perlu difahami sebagai penglibatan terbuka dan telus yang membolehkan pemilik atau penduduk mempunyai suara mengenai rupa bentuk persekitaran hidup mereka pada masa depan sambil membuat keputusan yang perlu.
“Berdasarkan apa yang kami lihat, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menjadikan RUU baik dan teratur,” katanya.
Akta seharusnya mempunyai kesan luas dan mendalam ke seluruh masyarakat kerana pembaharuan bandar bukan sekadar keperluan mendesak hari ini, sebaliknya berterusan selama beberapa dekad atau mungkin berpanjangan, justeru ia tidak seharusnya dikompromi secara tergesa-gesa.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam berkata, kementerian sedang mempertimbangkan pindaan fasal di bawah RUU PSB susulan kebimbangan banyak pihak. Katanya, cadangan daripada ahli Dewan Rakyat mengenai penambahbaikan RUU itu diambil kira, termasuk isu komposisi penduduk di kawasan terlibat dengan pembaharuan semula bandar dan cadangan menaikkan ambang persetujuan kepada 80 peratus.
“KPKT cakna dengan keresahan ramai pihak berkaitan komposisi penduduk di kawasan pembaharuan semula bandar. Lanjutan itu, KPKT akan mempertimbangkan pindaan fasal ini bagi menjamin demografi setempat, tertakluk kepada perincian yang dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Pindaan itu akan memastikan maklumat demografi setempat diambil kira oleh jawatankuasa eksekutif Persekutuan dan negeri bagi mengelakkan perubahan drastik dalam komposisi penduduk.
Katanya RUU PSB bukan sekadar kerangka perundangan, tetapi pendekatan holistik untuk pembangunan inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, sambil mengekalkan prinsip rundingan, keadilan sosial dan hak pemilikan seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










