Tangani LGBT berasaskan al-Quran

Tangani LGBT berasaskan al-Quran

HAMDAN MUHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebarang permasalahan yang menimpa umat Islam perlu dirujuk kepada al-Quran dan hadis sebagai panduan utama. Kedua-duanya adalah tunjang penyelesaian dalam menangani isu berkaitan umat Islam. Justeru, isu salah laku lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini perlu dilihat penyelesaiannya dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai asas penyelesaian dalam masyarakat negara kita.

Serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat sauna di ibu kota baru-baru ini bukan sekadar mendedahkan aktiviti tidak bermoral, tetapi turut membuka mata masyarakat betapa seriusnya penularan gejala LGBT dalam negara.

Berkongsi pandangan, Presiden Penggerak Dakwah Putrajaya, Ustaz Hamdan Muhamad berkata, kejadian sebegini memberi peringatan masalah moral bukan lagi sesuatu yang berada di pinggiran, tetapi sudah bergerak ke ruang yang membimbangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam Islam, kita diajar untuk mengajak kepada perkara baik, mencegah kemungkaran dan memastikan masyarakat beriman kepada Allah.

“Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT dan sejalan dengan dasar kerajaan hari ini dalam konsep Madani yang menekankan kesejahteraan rohani dan jasmani rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Ustaz Hamdan berkata, isu LGBT pada hari ini semakin mencabar dan memerlukan pendekatan penuh hikmah, kefahaman fiqh yang tepat serta kebijaksanaan dalam berdakwah.

Katanya, dalam usaha mendidik masyarakat memahami batas syariah dan memberi bimbingan berkesan, institusi agama memainkan peranan penting.

“Antara institusi tersebut adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),jabatan agama negeri (Jain), masjid, surau, NGO dakwah serta para asatizah.

“Begitu juga agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Jakim, Jain dan beberapa agensi lain yang turut terlibat secara langsung dalam usaha pencegahan dan pemulihan.

“Selain itu, Jakim turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi merangka dan memperkasa program pencegahan serta bimbingan kepada komuniti hijrah LGBT beragama Islam,” katanya.

Ustaz Hamdan berkata, pendidikan awal kanak-kanak juga perlu diberi perhatian serius, dengan penekanan kepada ilmu agama sebagai asas pembinaan jati diri.

“Anak-anak perlu ditarbiah dengan pengukuhan akidah, pendedahan awal tentang batas pergaulan serta adab interaksi mengikut syariah.

Kawalan terhadap penggunaan media sosial juga penting bagi mengelakkan pengaruh merosakkan fitrah mereka,” ujarnya.

Ustaz Hamdan Muhamad
Umur: 47
Latar pendidikan: Diploma tahfiz al-Quran wal Qiraat.
Ijazah Sarjana Muda Kepujian al-Quran as sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia

Katanya, pendidikan seksualiti Islam, khususnya berkaitan jati diri dan fitrah, perlu dibangunkan sejak kecil agar identiti mereka terbina secara sejahtera. Contohnya, pemakaian anak-anak perlu diberi penekanan dari awal. Nabi SAW mengutuk lelaki berpakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki, dan hal ini perlu dijelaskan kepada anak-anak.

“Dari sudut komuniti, masyarakat perlu diperkasa melalui jaringan kerjasama antara keluarga dan institusi setempat seperti masjid, surau serta pusat komuniti.

“Kempen masyarakat pula hendaklah disampaikan secara berhikmah, berilmu dan tidak cepat menghukum agar golongan yang memerlukan tidak merasa terpinggir,” tambahnya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat menjadi kunci utama dalam membina identiti generasi muda selaras dengan ajaran Islam serta keperluan semasa.

“Pengukuhan undang-undang jenayah syariah juga perlu diberi perhatian supaya tindakan terhadap perlakuan bertentangan syariah dapat dilaksanakan dengan tegas.

“Penyelarasan undang-undang antara negeri amat penting bagi memastikan pelaksanaan enakmen syariah seragam di seluruh negara. Aspek perundangan sivil juga perlu diteliti agar tidak bercanggah dengan peruntukan syariah.

“Penguatkuasaan syariah dan sivil mesti digerakkan secara bersepadu agar usaha menangani isu ini berpaksikan maqasid syariah,” katanya.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama, Ustaz Hamdan berkata, penjelasan hukum Islam kepada masyarakat bukan Islam perlu dibuat secara berhikmah dan sensitif.

Menurutnya, pendekatan bahasa yang lembut dan tidak provokatif amat penting agar mesej Islam tidak disalah tafsir atau menimbulkan ketegangan sosial.

“Usaha mengadakan dialog antara komuniti dan antara agama perlu untuk menggalakkan persefahaman, mengurangkan prasangka dan membuka ruang perbincangan harmoni. Sebagaimana pepatah menyebut, perbezaan dirai, penyatuan dicari,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, pendekatan berhikmah, tidak provokatif dan berlandaskan fiqh ta’ayush iaitu fiqh hidup bersama dalam suasana harmoni perlu dipraktikkan.

Pendekatan ini menegaskan bahawa Islam menggalakkan kasih sayang, toleransi, kebijaksanaan dan kejelasan prinsip dalam hidup bermasyarakat, tanpa menafikan identiti dan kepercayaan pihak lain.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini