Suspek bunuh isteri di Tanah Merah direman enam hari

Suspek bunuh isteri di Tanah Merah direman enam hari

SUSPEK  kes bunuh isteri di Kampung Paku, Gual Ipoh (tengah) diiringi anggota polis semasa dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya menggunakan pisau di sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini direman selama enam hari bermula hari ini.

Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas lelaki berusia 63 tahun itu dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.25 pagi ini.

Tahanan reman  itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum itu, suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap menaiki sebuah kereta sambil diiringi oleh anggota polis.

Media melaporkan, suspek kes bunuh di Kampung Paku dipercayai menikam isterinya sebanyak dua kali  dipercayai angkara cemburu dan mendakwa wanita berkenaan mempunyai kekasih.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bertengkar dengan suspek sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa ditikam  dua kali di bahagian belakang badannya.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa berusia 40 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di anggota badan.

Selepas kejadian itu, lelaki berkenaan dikatakan sempat mengambil salah seorang anaknya di sekolah sebelum menyerah diri kepada polis.

Suspek  dilapor datang sendiri ke balai polis dan mengaku telah membunuh isterinya, Mastura Abdullah, 40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×