PETALING JAYA: Suasana pilu menyelubungi pekarangan kediaman Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Idang Residen, Luyang, Kota Kinabalu sebaik Datin Seri Zizie Izette A. Samad tiba untuk menatap jenazah suaminya buat kali terakhir.
Zizie tiba kira-kira pukul 9.30 pagi bersama empat anak mereka sebelum bergegas masuk ke ruang tamu di mana jenazah ditempatkan.
Dalam suasana penuh hiba, beliau turut dilihat memeluk madunya, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin sejurus melangkah masuk ke kediaman tersebut.
Zizie bersama anak-anak difahamkan baru tiba dari Kuala Lumpur bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Bung Moktar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi masalah kesihatan kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu. – UTUSAN










