SKMM kemuka permohonan lebih 1,000 penurunan kandungan perkauman

SKMM kemuka permohonan lebih 1,000 penurunan kandungan perkauman

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengemukakan sejumlah 1,583 permohonan penurunan kandungan yang mempunyai unsur perkauman dari tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 1,066 (67 peratus) daripada jumlah keseluruhan kandungan diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berdasarkan garis panduan komuniti mereka dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

Menurut beliau SKMM mengambil tindakan selaras dengan tanggungjawab dan keperluan di bawah peruntukan Akta 588.

Katanya, ia bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan maklumat palsu, ucapan berbaur kebencian, serta melindungi integriti Raja Berperlembagaan dan institusi demokrasi daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan.

“Tindakan permohonan penurunan kandungan dilakukan selaras dengan lunas perundangan sedia ada bagi memastikan kebebasan bersuara rakyat tidak disalahgunakan, tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik individu atau entiti tertentu.

“Ini bagi mengimbangi hak individu dan kepentingan awam dapat dijaga demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari V. Ganabatirau (PH-Klang) yang memintanya menyatakan langkah-langkah yang telah diambil setakat ini untuk membendung budaya diskriminasi antara bangsa dan agama di media sosial. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN