IPOH: Sistem e-Penghulu yang telah dilaksanakan di Perak sejak 2019 akan diadaptasi ke seluruh negara bagi memperkukuh pemantauan, pengumpulan data dan pelaksanaan program pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem digital itu kini hanya dilaksanakan di Perak namun akan dilaksanakan ke seluruh negara untuk mengesan bukan sahaja peruntukan di bawah kementerian itu tetapi juga dana yang disalurkan daripada kementerian lain.
“Kita telah melihat sejauh mana keberkesanan sistem e-Penghulu di Perak.
“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menggunakan sistem ini sepenuhnya dan saya telah mengarahkan semua exco kerajaan negeri mengamalkannya bagi memantau pelaksanaan dan perbelanjaan program,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Mesyuarat Pelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini hari ini.
Sistem e-Penghulu telah dibangunkan pada tahun 2019 dengan kerjasama melibatkan Bahagian Pengurusan Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan semua penghulu di Negeri Perak dengan sokongan penuh pengurusan atasan.
Sistem tersebut digunapakai oleh semua penghulu di semua Pejabat Penghulu Negeri Perak dalam memberi perkhidmatan pelanggan yang hadir ke pejabat penghulu bagi pelbagai urusan seperti aduan, bantuan kotak makanan, perakuan permohonan, pengesahan maklumat, pendaftaran e-Kasih dan Takaful Tabarru’.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, bagi memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak dan pembelajaran komuniti, kementeriannya akan membina enam taska dan tabika Kemas baharu selain memperuntukkan RM70 juta untuk membekalkan televisyen pintar kepada 10,800 kelas di seluruh negara sebagai sebahagian daripada agenda pendigitalan pembelajaran.
“Dalam usaha meningkatkan ekonomi dan memperkukuhkan ekosistem usahawan desa pula, kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula sektor strategik bernilai tinggi serta menaiktaraf 365 premis perniagaan Mara.
“Sabah, Sarawak dan Pahang kekal sebagai penerima peruntukan tertinggi di bawah KKDW dengan agihan masing-masing RM1.41 bilion, RM790.9 juta dan RM679.2 juta yang mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan pembangunan luar bandar di setiap negeri terus dipacu secara seimbang dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN










