PETALING JAYA: Penyanyi, Sissy Imann, 30, selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya yang juga seorang doktor dan pempengaruh media sosial, Zamir Hilman Hamzah, 41, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pada Jumaat.
Sissy atau Sissy Imann Mohammad Kamil dinikahkan sendiri oleh bapanya, Encik Mohammad Kamil Mustaffa, dengan disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan rapat kedua-dua mempelai.
Dalam majlis tersebut, penyanyi lagu Pesanan Ayahanda itu menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki, yang dibalas tiga dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Tidak mendedahkan jumlah wang hantaran, Sissy bagaimanapun menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840 serta nombor plat khas “SIS5795”, gabungan simbolik nama pentasnya dan tahun kelahirannya, 1995. Namun begitu, jenama kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih belum didedahkan.
Sebagai melakar permulaan baharu dalam kehidupan berumah tangga, pasangan itu turut menerima hadiah istimewa berupa percutian bulan madu ke Rome, Itali.
Mengimbau detik perkenalan, pasangan ini dipertemukan apabila Zamir pernah merawat Sissy pada awal tahun 2025, tanpa mengetahui bahawa pesakitnya ketika itu merupakan seorang selebriti.
Sissy sebelum ini telah berkongsi mengenai hubungan cintanya kepada pihak media ketika pelancaran lagu terbaharunya, Dengan Kamu, yang dihasilkan khas sempena hari bahagianya itu. -UTUSAN










