Serang guna parang: Dua lelaki direman tujuh hari bantu siasatan

Serang guna parang: Dua lelaki direman tujuh hari bantu siasatan

DUA lelaki (kanan dan tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes serangan oleh sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, petang semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Dua lelaki direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu kes serangan menggunakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 59 tahun, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 36 tahun sebelum itu tiba di Mahkamah Majistret Jawi kira-kira pukul 1.40 petang dengan memakai baju lokap dan diwakili oleh peguam, A. Mahesh.

Difahamkan, suspek yang masing-masing bekerja dalam sektor perkhidmatan sewaan kenderaan serta pengurusan keselamatan itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini antara pukul 9.35 malam dan 12.40 tengah malam tadi iaitu selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di restoran terbabit.

Serangan yang sama turut mencederakan dua lagi lelaki lain dengan seorang daripada mereka dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi pula telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.

Difahamkan, rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial dan polis kini sedang mengenal pasti motif serangan selain mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN