GEORGE TOWN : Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas sebuah van kilang terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Mount Erskine, Tanjung Bungah di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku apabila van kilang terbabit yang dinaiki oleh tujuh pekerja wanita dengan dipandu oleh seorang lelaki dikatakan terbabas sebelum merempuh tembok jalan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.59 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai segera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, tiga daripada mangsa dilihat tersepit dalam kenderaan tersebut dan kerja-kerja menyelamat terpaksa dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.
“Kesemua mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, wanita yang maut dalam kejadian itu berusia sekitar 30-an dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat tercampak keluar daripada van kilang terbabit.
Katanya, kesemua mangsa yang cedera parah pula berusia dalam lingkungan umur antara 21 hingga 52 tahun termasuk pemandu van berkenaan yang turut tercampak keluar ketika nahas berlaku.
“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira pukul 7.50 pagi,” katanya yang memberitahu, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan buat masa ini.-UTUSAN










