Semakin ramai murid SJKC, SJKT sertai aktiviti seni budaya

Semakin ramai murid SJKC, SJKT sertai aktiviti seni budaya

Mohd. Amran Mohd. Haris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan generasi muda dalam program seni budaya negara semakin terserlah dan menunjukkan pe­ningkatan ketara termasuk menerusi penyertaan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam pertan­dingan Teater Bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, penyertaan itu bukan sahaja mencerminkan kecintaan generasi muda terhadap bahasa Melayu malah membuktikan teater budaya mampu menjadi platform penyatuan masyarakat.

“Penyertaan murid SJKC dan SJKT dalam teater bahasa Melayu amat meriah setiap tahun. Untuk SJKT, penyertaan mereka sudah mencecah 15 tahun manakala SJKC pula memasuki tahun keempat dan ini bukti seni boleh menyatukan anak-anak kita tanpa mengira kaum.

“Apa yang lebih membanggakan, mereka bukan setakat berlakon, tetapi menghayati budaya Melayu, memahami nilai dalam cerita dan membawanya semula kepada komuniti ma­sing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Tambah Mohd. Haris, setakat ini JKKN menerima seramai 292 peserta dari 30 buah SJKC dan 800 peserta dari 80 buah SJKT di seluruh negara.

Menurut beliau, walaupun dunia semakin bergerak ke arah digital, golongan muda masih mendambakan pengalaman seni yang sebenar terutama persembahan teater tradisional.

“Belia mahu program fizikal, mereka mahu berada di panggung, melihat pelakon di depan mata serta merasai suasana pementasan yang hidup.

“Sebab itu JKKN turun ke lapangan dan berjumpa dengan warga belia di kampus, sekolah dan daerah-daerah. Seni tidak boleh kekal di pejabat sahaja, ia perlu dibawa kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai usaha memartabatkan teater tradisi­o­nal, Mohd. Amran berkata, JKKN memperkukuh pendekatan baharu dalam persembahan seni warisan seperti Mek Mulung dan Mak Yong.

“Bagi Mak Yong pula, kami adakan perbincangan bersama kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan Mak Yong patuh syariah, termasuk menggugurkan elemen pemujaan tetapi seni dan budaya tetap kita pelihara,” katanya.

Jelasnya, menjelang penghujung 2025, JKKN turut menganjurkan beberapa program berskala besar di seluruh negara, merangkumi pementasan teater dan persembahan budaya seperti Karya Teater Tugau di Sarawak, Ritma Kinabalu di Sabah serta Mek Mulung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

“Program-program berkena­an membuktikan seni budaya hidup di setiap negeri. Setiap negeri ada ceritanya sendiri dan kami bertanggungjawab mengangkatnya ke pentas nasional,” katanya.

Selain itu, katanya, JKKN turut meneruskan penganjuran Anugerah Seni Negeri dalam usa­ha menghargai penggiat seni.

“Kami mahu penggiat seni budaya tahu bahawa bakat dan sumbangan mereka dihargai. Tahun ini kami meraikan 14 penerima utama di samping 53 penerima lain. Penghargaan berbentuk anugerah ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Bagi menghadapi Tahun Me­lawat Malaysia 2026, Mohd. Amran berkata, JKKN memberi tumpuan kepada festival seni budaya bertaraf negeri dan kebangsaan, selain memperkukuh usaha pengantarabangsaan seni tempatan.

“Kami mahu lebih banyak pelancong datang ke Malaysia bukan untuk melihat bangunan, tetapi untuk melihat budaya di Malaysia. Kami juga mahu artis Malaysia berada di pentas dunia melalui festival antarabangsa. Mereka merupakan duta budaya negara,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran majlis bertaraf antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini turut memperlihatkan keyakinan tinggi agensi luar terhadap kepakaran JKKN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN