SUBANG JAYA: Dengan satu lafaz, penyanyi dan primadona tanah air, Erra Fazira Wan Chek, 51, sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Ezwan Zain, 44, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, di sini, pada pukul 9.19 pagi ini.
Pasangan sama cantik sama padan itu telah dinikahkan oleh jurunikah oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Hadir sama pada majlis pernikahan itu ialah ibu Erra iaitu, Azizah Zaik.
Pada majlis penuh indah itu, Erra menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram dengan jumlh 24 keping dinar emas sebagai mas kahwin.
Selain itu, Erra juga menerima sebentuk cincin berjenama Cartier yang dianggarkan bernilai RM80, 000.
Majlis bertemakan rona putih itu telah dihadiri seramai 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara mara, serta rakan media.
Selain itu, Erra juga kelihatan anggun dalam persalinan berwarna ‘powder blue’ rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini dan disolek oleh jurusolek terkenal, Deqsha.
Menariknya, untuk majlis pernikahan ini, Erra dan suami memilih untuk tidak membuat hantaran seperti lazimnya mana-mana pasangan pengantin lain.
Kedua-dua bagaimanapun lebih selesa memuatkan beberapa barangan berjenama seperti tas tangan, jam tangan, minyak wangi termasuk cincin nikah di dalam satu dulang sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Kesemua hantaran itu juga diangkat dengan tandu yang diangkat masuk oleh sahabat-sahabat Ezwan.
Terdahulu, Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek bergelar ibu tunggal selama 10 tahun selepas bercerai dengan Engku Emran pada 17 Februari 2014.
Erra pernah berkahwin dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003 namun bercerai pada 2006.
Menerusi perkahwinan dengan Engku Emran, jelitawan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan dinamakan Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.
Sementara itu, Ezwan atau nama sebenarnya Muhammad Ezwan Muhammad Zain merupakan bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan. -UTUSAN










