Saya kehilangan sahabat sejati – Ahmad Zahid

Saya kehilangan sahabat sejati – Ahmad Zahid

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut beliau, kehilangan itu amat dirasai kerana Allahyarham disifatkan beliau sebagai seorang sahabat yang dekat di hati, rakan seperjuangan yang sentiasa berdiri teguh di sisi serta individu yang hadir dalam setiap saat susah dan senang.

“Ya Allah luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.

“Hari ini saya kehilangan seorang sahabat sejati, rakan seperjuangan yang sentiasa bersama serta insan yang setia menemani dalam segala keadaan.

“Sukar mencari kata untuk menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang beliau tinggalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut memohon agar Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarham, menerima segala amal baktinya, mengangkat darjat kebaikannya serta mengurniakannya nikmat syurga.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, seluruh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama rakyat khususnya di Sabah turut berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar dilaporkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi ini.

Berita pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu dimaklumkan anaknya, Naim Moktar.

Bung Moktar semalam dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu terpilih untuk mewakili rakyat DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November lalu.

Difahamkan, pengurusan jenazah akan dijalankan di Masjid Bandaraya diikuti solat jenazah dilakukan selepas solat Jumaat di masjid yang sama.

Jenazah Allahyarham kemudian dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Likas, Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN