Assalamualaikum kepada semua pembaca sekalian. Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku kira-kira 15 tahun lalu ketika itu saya bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
Cerita ini cukup meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya, sehinggakan saya menjadi fobia dan trauma apabila diminta menyiapkan kerja di pejabat sehingga lewat malam.
Begini ceritanya…
Ketika baru memulakan tugas, saya ada mendengar pelbagai cerita kurang enak di pejabat tempat saya bekerja, tetapi saya tidak pernah ambil pusing, malah saya hanya tersenyum apabila ada rakan-rakan yang cuba menakut-nakutkan saya.
Maklumlah sebagai pekerja baharu segan pula rasanya hendak membidas atau menyanggah, nanti tidak pasal-pasal orang label saya sebagai ‘poyo’, berlagak bagus dan sebagainya. Jadi, saya hanya pasang telinga dan dengar sahaja.
Menurut cerita mereka, bangunan tempat kami bekerja ini agak ‘keras’ dan menyimpan pelbagai kisah menakutkan kerana sebelum dilakukan ubah suai sebagai pejabat, bangunan tersebut dahulunya sebuah hotel.
Kononnya sebelum ini terdapat beberapa kejadian bunuh diri berlaku di hotel tersebut, jadi apabila banyak timbulnya cerita-cerita menyeramkan daripada pelanggan yang menginap di situ, hotel tersebut terus tidak mendapat sambutan sehinggakan terpaksa ditutup.
Menurut seorang rakan sepejabat bernama Mustafa, sudah ramai yang terkena gangguan dan tidak kurang juga terserempak dengan jelmaan menakutkan sehingga ada jatuh pengsan.
Sejak berlakunya banyak kejadian aneh dan menyeramkan, ramai pekerja sudah tidak mahu ‘stayback’ sehingga lewat malam. Jika ada pun hanya sebilangan kecil, itu pun dalam berkumpulan, bukannya seorang diri.
“Ingat beb, kalau kau nak stayback di office ini pastikan ada teman. Jangan kau berseorangan pula, nanti tidak pasal-pasal ada makhluk lain yang temankan kau! Kata Mustafa mengingatkan saya.
Saya sekadar tersengih. Namun dalam hati saya berdoa agar dihindari daripada segala gangguan dan perkara yang tidak diingini. Maklumlah saya pun bukanlah kategori lelaki yang berani, adakalanya penakut juga.
Pejabat saya bekerja terletak di tingkat sembilan iaitu paling atas. Jika sudah malam keadaannya memang lengang dan sunyi kerana tidak semua tingkat berpenghuni. Kalau tidak silap saya tiga tingkat sahaja mempunyai penyewa dan selebihnya masih kosong, sekali gus menyebabkan bangunan tersebut lengang terutamanya pada waktu malam.
Memang sedari awal ketika melapor diri saya sudah perasan hal demikian kerana melihat kertas-kertas iklan yang bertampal di sana sini, tetapi saya malas untuk bertanya lanjut dengan rakan sekerja lain takut mereka fikir saya jenis yang menyibuk pula, maklumlah pekerja baharu.
Boleh dikatakan setiap hari saya akan pulang dari pejabat sekitar pukul 9.30 malam selepas selesai menunaikan solat Isyak. Memang tabiat saya begitu kerana akan pastikan semua kerja yang tertangguh dibereskan terlebih dahulu supaya keesokkannya ketika masuk pejabat saya tidak perlu pening kepala untuk menyambung saki baki tugasan sebelumnya.
Dan biasanya sebelum pulang ke rumah saya akan singgah mengisi perut di gerai berhampiran kerana saya bukanlah kategori orang bujang yang suka memasak. Bagi saya di rumah hanyalah tempat untuk berehat, menonton TV dan tidur.
Namun pada suatu malam berlakulah satu kejadian yang tidak saya duga sama sekali. Waktu itu saya baru sahaja selesai menikmati makan malam di warung berdekatan rumah. Entah macam mana baru saya teringat komputer riba saya tertinggal di pejabat.
Mulanya saya buat tidak kisah sahaja, tetapi baru saya teringat yang mana pagi esok saya ada temu janji dengan seorang pelanggan. Jadi, mahu tidak mahu terpaksalah saya berpatah balik ke pejabat untuk mengambilnya. Waktu itu saya menyumpah dalam hati kerana terpaksa buang masa akibat kelalaian diri sendiri.
Sebaik meletakkan kenderaan di parkir, saya terus menuju ke arah lif untuk naik ke tingkat sembilan. Sebaik sahaja masuk saya terkejut, kerana kesemua lampu di butang lif menyala terang, bermula dari tingkat satu hinggalah ke tingkat sembilan.
Fikir saya mungkin butang lif tersebut rosak kerana kesemuanya menyala sekali gus. Jadi, mahu tak mahu terpaksalah saya gunakan sahaja lif tersebut memandangkan sebuah lagi lif berdekatan masih dalam penyelenggaraan.
TING…
Pintu lif terbuka di tingkat satu, terus saya tekan butang tutup supaya cepat sampai ke destinasi.
TING…
Pintu lif sekali lagi terbuka di tingkat dua, seperti tadinya jari saya laju menekan butang tutup berkali-kali.
TING…
Ketika pintu lif terbuka di tingkat tiga, saya mengulangi perkara yang sama dengan menekan butang berkali-kali, namun tiba-tiba saya terkejut kerana di hadapan pintu kelihatan seorang wanita berketurunan Cina sedang berdiri tegak. Lantas saya tekan semula butang lif untuk memberinya masuk.
Wanita yang saya fikir berusia dalam lingkungan 30-an itu masuk tanpa sepatah kata. Saya lihat dia tidak menekan sebarang butang di situ mungkin dia perasan yang kesemua butang untuk setiap tingkat telah menyala. – UTUSAN
bersambung










