Sampai sekarang panggil Saiful Apek ‘Daddy’ - Ayie - Utusan Malaysia

Sampai sekarang panggil Saiful Apek ‘Daddy’ – Ayie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, tidak menyangka impiannya untuk bergandingan dengan idola sejak kecil menjadi kenyataan apabila diberi peluang berlakon bersama anggota Senario dalam filem Duyung: Legenda Aurora.

Menurut Ayie atau Nik Fadlee Elhamshah, 28, kenangan pertamanya bertemu kumpulan Senario masih segar dalam ingatan apabila dia dibawa ke set penggambaran filem Senario Lagi di Damansara ketika berusia sekitar empat tahun.

“Sejak kecil lagi saya sudah biasa dengar lagu-lagu Senario. Waktu itu pak cik saya bekerja sebagai kru produksi, jadi dia bawa saya ke set penggambaran Senario Lagi. Umur saya baru empat tahun.

“Saya juga kongsikan kenangan ini dengan Abang Saiful Apek. Kebetulan ketika itu ada permainan sepak takraw di set. Dia pun tak menyangka. Bila fikir balik, rasa macam tak percaya boleh berkongsi ‘frame’ dalam satu filem dengan insan-insan yang saya sanjungi sejak kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ayie mengakui perasaan gugup menyelubungi dirinya pada hari-hari awal penggambaran Duyung: Legenda Aurora, namun rasa tersebut beransur hilang selepas terjalin keserasian dengan barisan pelakon lain.

Membawakan watak Dashmond, anak kepada Jimmy lakonan Saiful Apek, Ayie berkata hubungan mereka di set penggambaran sangat rapat malah sehingga kini, dia masih memanggil Saiful dengan gelaran ‘Daddy’ walaupun penggambaran telah berakhir.

“Bila berlakon dengan nama-nama besar, sudah tentu timbul perasaan gusar, nak tegur pun rasa segan. Tapi yang seronoknya, mereka yang menegur kita dulu dan beri kerjasama sepenuhnya.

“Kalau saya rasa kekok, Abang Saiful Apek akan beri cadangan apa yang patut saya buat. Hubungan kami memang rapat. Sampai sekarang saya masih panggil dia ‘Daddy’ dan panggil Kak Yasmin Hani ‘Mummy’ sebab dia melakonkan watak ibu saya dalam filem ini.

“Begitu juga dengan Abang Yassin. Ada satu babak saya perlu dipukul dan adegan itu terpaksa diulang beberapa kali sebab saya terlalu gugup. Maklumlah, dia idola yang saya tonton sejak kecil,” katanya sambil ketawa.

Duyung: Legenda Aurora merupakan sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan lebih moden serta sentuhan visual yang lebih segar.

Filem komedi fantasi terbitan KRU Studios bersama 8 Bit Studio itu dipasarkan oleh Primeworks Studios dan dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN