IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyanggah kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Mohamad Husairi Ariffin berhubung dakwaan pembatalan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai, Gerik.
Menurut beliau, dakwaan itu tidak benar kerana tiada projek PPRT di kawasan berkenaan, sebaliknya, projek yang dirujuk adalah Program Pembangunan Kawasan (PPK).
Katanya, projek PPK itu mendapat peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan ia masih berada pada peringkat cadangan permohonan untuk dimasukkan ke dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“ADUN Kenering mengatakan bahawa ada satu projek PPRT di Kampung Tawai yang katanya telah pun mendapat kelulusan RM50 juta tetapi terpaksa dibatalkan kerana ada bantahan orang kampung termasuk Ahli Parlimen Lenggong.
“Saya ini Ketua UMNO Bahagian Lenggong, saya tak akan biarkan perkara ini berlaku sebab itu saya rujuk pegawai daerah dan cari maklumat.
“Saya hubungi orang Kampung Tawai dan Datuk Shamsul (Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah) untuk tahu adakah dakwaan yang dibuat ADUN Kenering itu benar, tidak benar,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.
Menurut beliau, memang terdapat bantahan penduduk Kampung Tawai berkaitan projek PPK kerana kawasan itu telah dicadangkan untuk Projek Perumahan Tersusun (RPT)
Katanya, pentadbiran daerah mengambil kira bantahan tersebut dan merancang untuk memindahkan lokasi projek ke tempat lain, bukannya membatalkannya.
“Ahli Parlimen Lenggong tidak membantah sama sekali dan PPK yang dicadang dibina di Kampung Tawai di atas tanah milik kerajaan negeri telah mendapat kelulusan RM50 juta, adalah salah. Belum lulus lagi, baru mahon,” katanya.
Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau kesal apabila DUN dijadikan tempat untuk wakil rakyat berhujah dengan memberi fakta yang salah, berbohong dan berbaur fitnah.
Tegasnya, semua pihak tidak boleh berhujah dan berbahas menggunakan perkara-perkara yang tidak benar kerana setiap keputusan yang dimuktamadkan di dalam sidang DUN akan menjadi undang-undang.
“Ini Dewan Undangan Negeri, bukan dewan orang ramai, bukan pasar malam, bukan pekan sehari, bukan pentas ceramah. Saya minta maaf, saya enam penggal di sini dan saya banyak belajar,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Husairi ketika mencelah memohon maaf kepada Saarani Mohamad susulan kekeliruan isu PPK di Kampung Tawai.
“Saya memohon maaf jika fakta yang saya sebut itu merupakan kesalahan dengan apa yang sebenarnya. Saya akur dengan apa jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar,” katanya. – UTUSAN











