RUU berkaitan TVET perkasa pengantarabangsaan TVET, tarik keyakinan pelabur luar

RUU berkaitan TVET perkasa pengantarabangsaan TVET, tarik keyakinan pelabur luar

PERKUKUH kerjasama dalam memperkasa TVET sebagai pemacu kemajuan ekonomi negara dan pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi, berilmu dan berdaya saing. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia-China Institute (MCI) menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 yang disifatkan sebagai pemangkin utama kepada agenda pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Pengerusi MCI, Manndzri Nasib berkata, pindaan itu menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk membawa sistem TVET negara ke tahap lebih moden, fleksibel dan kompetitif di peringkat global.

Beliau berkata, dalam konteks kerjasama TVET Malaysia-China, pindaan berkenaan bukan sahaja mengukuhkan keupayaan sistem domestik, malah mengangkat Malaysia sebagai hab latihan kemahiran bertaraf antarabangsa.

“Ia selari dengan kerjasama strategik Malaysia-China yang semakin berkembang dalam bidang latihan, persijilan dan pembangunan bakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Manndzri , pengiktirafan program latihan luar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta peluasan laluan modular seperti Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) merupakan langkah penting dalam menyokong pengantarabangsaan TVET dan mobiliti bakat.

Katanya, langkah itu membolehkan Malaysia menyelaraskan standard TVET tempatan dengan piawaian negara maju, termasuk China yang mendahului dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan semikonduktor.

“Selain itu, memperluas kerjasama latihan antarabangsa melalui pertukaran tenaga pengajar, mobiliti pelajar dan pembangunan kurikulum rentas negara.

“Pindaan berkenaan turut membolehkan penghasilan graduan tempatan yang setara dengan bakat global, sekali gus memudahkan penempatan kerja di luar negara atau dalam syarikat multinasional.

“Ia juga meningkatkan kredibiliti Malaysia dalam menerima amalan global terbaik melibatkan reka bentuk modul, metodologi latihan, standard industri dan persijilan profesional,” katanya.

Mengulas keyakinan pelabur luar, Manndzri  berkata, pemodenan TVET melalui RUU itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dari China yang merupakan antara pelabur terbesar dalam sektor pembuatan, automotif, kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau dan digital.

“Dengan pengiktirafan bidang teknologi termaju seperti AI, automasi, semikonduktor dan EV, pelabur asing melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai saluran bakat lebih konsisten, standard dan boleh dipercayai, selain mampu melahirkan tenaga kerja yang tidak memerlukan latihan semula dari awal.

“Malah, ia turut memenuhi keperluan operasi kilang pintar dan industri teknologi tinggi serta menunjukkan komitmen terhadap kelestarian latihan melalui pengurusan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang lebih berintegriti dan mampan,” ujarnya.

Menurut Manndzri , pelabur asing menilai kualiti bakat sebagai faktor kritikal sebelum membuat keputusan pelaburan, dan RUU TVET ini menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia serius melahirkan bakat berkemahiran tinggi melalui sistem yang lebih telus, moden dan berfokus kepada kualiti.

“Pindaan RUU berkenaan turut menyokong kerjasama Malaysia-China dalam pembangunan bakat strategik, khususnya dengan penglibatan lebih 225 institusi latihan China yang bersekutu dengan MCI,” katanya.

Antara peluang dibuka termasuk pembangunan modul bersama dalam bidang AI, EV, automasi, robotik dan semikonduktor, pelaksanaan pensijilan dwi Malaysia-China yang diiktiraf industri kedua-dua negara, pengembangan model Train–Intern–Job Placement ke lebih banyak sektor serta pensijilan antarabangsa melalui inisiatif China Global Professional and Technical Certification (CGPTC).

MCI yakin RUU berkenaan akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama latihan kemahiran berimpak tinggi dan pusat pembangunan bakat antarabangsa yang memberi manfaat kepada belia, industri tempatan dan pelabur global.

Malaysia-China Institute akan terus memainkan peranan strategik sebagai penghubung kerjasama Malaysia-China bagi memastikan negara memiliki bakat yang kompeten, bersijil global dan bersedia menghadapi keperluan industri masa depan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN