RTPJ (Penggantian) pemangkin pembangunan Petaling Jaya

RTPJ (Penggantian) pemangkin pembangunan Petaling Jaya

MOHAMAD Zahri Samingon (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama warga MBPJ selepas majlis perasmian Soft Launch dan Sidang Akhbar Publisiti Awal Draf RTPJ (Penggantian) di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/SOLEHAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengumumkan pelaksanaan Publisiti Awal Cadangan Draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) (Penggantian) dalam usaha membangunkan Petaling Jaya sebagai bandar raya mampan, progresif dan berdaya huni.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, MBPJ telah memulakan penyediaan Draf RTPJ (Penggantian) sejak 11 Jun lalu, dengan keseluruhan proses dijangka siap sehingga pewartaan pada 10 November 2026.

“Dokumen baharu ini akan menggabungkan RTPJ 1 dan 2 dalam satu pelan komprehensif yang lebih selaras dengan keperluan pembangunan bandar raya masa kini,” katanya ketika merasmikan Soft Launch dan Sidang Akhbar Publisiti Awal Draf RTPJ (Penggantian) di Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat empat peringkat penyediaan rancangan tempatan tersebut iaitu Mobilisasi; Penyediaan Draf RT Penggantian; Pemeriksaan, Siasatan Tempatan dan Pendengaran serta Pewartaan dan Pembatalan.

“MBPJ kini berada di peringkat kedua iaitu Penyediaan Draf Rancangan Tempatan yang turut merangkumi pelaksanaan publisiti awal di bawah Seksyen 12A Akta 172 bagi mendapatkan pandangan awal daripada masyarakat,” katanya.

Mohamad Zahri menambah, RTPJ (Penggantian) merupakan pelan pembangunan jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan Petaling Jaya sebagai bandar raya inklusif, sejahtera dan berdaya saing.

Katanya lagi, pelaksanaan publisiti awal Seksyen 12A Akta 172 berfungsi sebagai platform hebahan kepada masyarakat bahawa proses penyediaan draf telah bermula.

“Di samping membuka ruang kepada orang awam dan pemegang taruh untuk memberi pandangan, cadangan serta mengenal pasti isu tempatan yang perlu diberi perhatian.

“Sepanjang tempoh publisiti berlangsung selama dua bulan, MBPJ menyediakan pameran khas di lobi Ibu Pejabat MBPJ serta borang maklum balas untuk pengumpulan cadangan oleh orang ramai.

“Kita turut menyediakan taklimat Cadangan Draf RTPJ (Penggantian) pada pertengahan Januari 2026 serta membangunkan portal e-Publisiti untuk akses maklumat berkaitan dan memuat turun borang cadangan,” katanya.

Beliau turut mengajak komuniti, pemilik tanah dan pemegang taruh untuk mengambil peluang menyampaikan pandangan bagi memastikan Draf RTPJ (Penggantian) disusun secara menyeluruh, seimbang dan sejajar aspirasi warga Petaling Jaya.

MBPJ berharap program itu menjadi platform libat urus yang efektif dalam menambah baik RT (Penggantian) serta menjadi pemangkin pembangunan bandar tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN