MBPJ roboh papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan

MBPJ roboh papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan

OPERASI pihak MBPJ bersama PDRM dan TNB menurunkan papan iklan haram malam tadi. - IHSAN MBPJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap papan iklan tanpa kelulusan di Kilometer (KM) 32.9 Lebuhraya Persekutuan di sini, malam tadi.

Operasi yang bermula pukul 11.30 malam itu mendapati sebuah papan iklan dipasang tanpa lesen sah, sekali gus melanggar Undang-undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.

Sebelum tindakan diambil, MBPJ telah mengeluarkan Notis Arahan Penurunan bertarikh 29 Ogos 2025 kepada syarikat pengiklanan terlibat.

Dalam operasi pada 25 Ogos lalu, pihak berkuasa turut menyita sebuah genset yang digunakan sebagai sumber elektrik selepas bekalan asal dipotong TNB.

Namun, syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan notis tersebut. Keengganan itu memaksa MBPJ mengambil tindakan tegas dengan menurunkan papan iklan berkenaan selaras dengan peruntukan UUK 21 Undang-undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.

Siasatan lanjut turut mendedahkan syarikat itu pernah mengemukakan permohonan lesen pada 23 April lalu. 

Hasil semakan MBPJ  mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen Kebenaran Merancang (KM) dan Permit Struktur seperti yang ditetapkan.

“MBPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

MBPJ berkata, setiap paparan iklan perlu mematuhi syarat perundangan bukan sahaja demi menjaga keselamatan awam, tetapi juga bagi memastikan persekitaran bandar kekal teratur dan terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN