KUALA LUMPUR: Royalti hasil jualan buku karya Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Rethinking Ourselves: Justice Reform and Ignorance in Postnormal Times disumbangkan untuk pelajar miskin.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan royalti dapat disalurkan membantu golongan tersebut di seluruh negara.
“Saya ingin mengumumkan hari ini setiap sen royalti buku ini akan dibelanjakan untuk membantu pelajar miskin. Setiap sen akan disalurkan terus kepada mereka,” katanya ketika berucap selepas melancarkan buku tersebut di Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini.
Buku setebal 240 halaman itu mengetengahkan kupasan mendalam terhadap pelbagai persoalan besar di zaman ini daripada pascakolonialisme dan Islamofobia sehinggalah kepada demokrasi serta pembentukan tata dunia.
Selain itu, buku berkenaan turut menghimpunkan gagasan pemikiran dan refleksi peribadi Anwar mengenai keadilan sosial, reformasi serta cabaran yang dihadapi masyarakat dalam era pasca normal.- UTUSAN










