PETALING JAYA: Pas mengkritik pengumuman rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rombakan itu gagal menunaikan janji reformasi yang pernah dilaungkan Perdana Menteri.
Menurutnya, pengumuman itu seolah-olah mengesahkan bahawa jawatan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan kekal.
“Kabinet baharu akhirnya diumumkan. Perdana Menteri masih memegang jawatan Menteri Kewangan.
“Janji penting ‘reformasi’ akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan 27 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Menurutnya, beliau membuat sedikit penyesuaian susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet dan sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat.
“Seperti mana sudah sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Bagi lantikan baharu Menteri, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dinaikkan sebagai menteri penuh menggantikan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri R. Ramanan dilantik Menteri Sumber Manusia (Kesuma) menggantikan Steven Sim Chee Keong yang mengisi kekosongan ditinggalkan Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – UTUSAN










