Ramai jejaka, suami orang mahukan dia kononnya - Utusan Malaysia

Ramai jejaka, suami orang mahukan dia kononnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aduhai, sejak kebelakangan ini, telinga Cik Bunga kerap menangkap satu cerita yang berulang-ulang singgah. Katanya, ada seorang selebriti yang gemar sangat mencanang kepada orang sekeliling kononnya ramai artis lelaki yang menaruh hati padanya.

Bukan seorang dua. Siap ada yang dikatakan ajak berkahwin, tetapi dia sahaja yang tidak mahu.

Lebih mencuit hati, menurut cerita dongeng dia lagi, bukan lelaki bujang sahaja meminati, bahkan yang sudah berumah tangga pun dikatakan sanggup mencuba nasib. Hebat benar khabarnya!

Namun Cik Bunga menarik nafas panjang bila memikirkan satu perkara. Hendak kata dia seorang jelitawan yang buat orang terpaku beramai-ramai, tidak juga. Paras rupanya, pada mata Cik Bunga,biasa-biasa sahaja.

Bukanlah tidak cantik langsung, cuma tidaklah sampai tahap sekali pandang terus lupa dunia. Dalam industri seni pula, kehadirannya sekadar ada. Tidak menyerlah, tidak juga meletup sebagai ikon. Pendek kata, cukup-cukup sahaja.

Jadi, persoalannya, kenapa tergamak mencanang perkara yang tidak perlu begitu?

Adakah ini tanda terlalu terdesak mahu dilihat sebagai ‘laris’? Mahu diyakini masih menjadi rebutan? Atau sekadar mahu menyedapkan cerita di meja kopi demi menghidupkan suasana?

Cik Bunga kasihan juga sebenarnya. Di dunia hiburan, perhatian itu ibarat oksigen. Bila semakin kurang disedut, semakin kuatlah dada terasa sesak. Maka ada yang memilih jalan mudah, mencipta naratif bahawa diri masih diintai, masih dikejar, masih ‘mahal’.Walhal, orang luar yang mendengar hanya mampu mengangkat kening.

Apa yang lebih mengundang rasa kurang senang, apabila kononnya lelaki berstatus suami orang pun mahukan dia.

Kalau benar pun, apakah wajar dicanang? Bukankah itu seperti menconteng arang pada muka orang lain? Dan kalau betul seperti yang dicanang, ramai jejaka dan suami orang mengetuk pintu hati, kahwin sahajalah dengan mana-mana yang betul-betul ikhlas datang.

Tidak perlu jadikan dakwaan itu seperti pingat untuk dibanggakan. Bahagia itu bukan datang daripada siapa yang suka pada kita, tetapi siapa yang kekal setia dengan kita.

Cik Bunga tidak berniat menjatuhkan sesiapa. Ini sekadar satu renungan kecil dari sudut dunia glamor yang penuh ilusi.

Akhir kata, buat si empunya cerita, tidak perlu terjerit-jerit mahu membuktikan diri laku. Orang yang benar-benar bernilai, tidak perlu menghebohkan harga dirinya sendiri. Lebih buruk jika cerita itu sekadar kisah yang direka-reka. Memalukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN