Kebanjiran artis seberang mempromosikan karya di Malaysia bukanlah perkara baharu, malah strategi yang sudah berlarutan sekian lama ini membuktikan penerimaan peminat yang kebanyakannya menggagumi naskhah yang disifatkan unik serta mempunyai nilai tersendiri.
Galau, emosi, melankonik antara faktor yang menjadi keutamaan. Ironinya pendengar mendakwa konsep sedemikian mampu menjentik naluri serta melangkaui jiwa mereka untuk bermonolog menerusi bait-bait indah dan puitis yang diterapkan.
Bukan ingin mendewakan mereka, namun itulah yang dikagumi segelintir peminat apabila melihat karya sedemikian lebih dekat dengan jiwa mereka terutamanya dari sudut mood dan kreativiti.
Begitu juga dengan beberapa genre lain yang dilihat berbeza. Sambutan yang diterima masih menggalakkan, malah acap kali juga artis-artis seberang berjaya menakluk peminat tempatan dengan persembahan berskala besar, bahkan sehingga beberapa kali dalam setahun. Itu menunjukkan muzik mereka di terima walaupun harga tiket yang dikenakan agak tinggi.
Pada tanggal 10 januari 2026, Kuala Lumpur sekali lagi bakal menjadi medan pertembungan dua kumpulan popular dari Indonesia iaitu Radja dan Wali Band berkolaborasi menerusi konsert khas, Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Konsert istimewa ini menyaksikan kedua-dua kumpulan akan berkongsi pentas buat pertama kalinya di Malaysia, sekali gus memberi peluang peminat tempatan menyaksikan gabungan hebat yang pernah mencipta sejarah menerusi karya-karya hebat mereka sebelum ini.
Radja yang cukup popular dengan naskhah rangkaian lagu-lagu popular seperti Jujur, Tulus, Takkan Melupakanmu dan Cinderella, pernah mencetuskan fenomena di Malaysia pada awal tahun 2000, apabila jualan albumnya berjaya mencecah ratusan ribu unit.
Menurut vokalisnya, Ian Kasela, dia berasa cukup teruja untuk membuat persembahan di Malaysia kerana sering ditanya peminat bilakah mereka akan kembali lagi untuk konsert seterusnya. Namun kali ini momennya pasti lebih menarik apabila digandingkan dengan artis senegara, Wali Band yang disifatkan sebagai sebuah kumpulan yang cukup terkenal.
“Pasti akan jadi satu momen yang cukup Istimewa, malah apabila digandingkan dengan Wali Band saya rasa ia bakal mencipta sejarah tersendiri yang tak akan dilupakan peminat kerana kedua buah kumpulan ini punyai ramai peminat di Malaysia.
“Satu penghargaan buat kami apabila diberi peluang mengadakan konsert di Malaysia, kerana peminat di Malaysia cukup dekat di hati kami. Pastinya kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan mereka dan bakal memberikan persembahan terbaik dari segi lagu, energi serta kualiti muzik,” ujarnya.
Wali Band yang dianggotai Faank, Apoy, Ovie dan Tommy turut senada. Mereka yang popular dengan karya-karya hebat seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Ada Gajah Dibalik Batu dan Aku Bukan Bang Toyib berasa sangat teruja untuk bertemu dengan peminat di Malaysia.
Menurut mereka, konsert kali ini bakal mencipta sejarah tersendiri yang tidak mungkin dilupakan apatah lagi bila dua kumpulan ini bakal berkongsi pentas dengan pelbagai kejutan.
“Sudah lama rasanya kami tidak bertemu dengan peminat di Malaysia, Wali Band sentiasa menghargai peminat di Malaysia kerana jika mereka tidak menyokong kami, masakan lagu-lagu Wali Band boleh popular dan bertahan lama di sana. Pastinya kami berjanji akan tampil dengan persembahan yang segar dan mantap,” kata mereka.
Penganjur konsert, Infinity Love Creative Ventures, melalui Pengarah Projeknya, Mubarak Hatta berkata, sokongan padu daripada peminat dan beberapa rakan strategik akhirnya menjadikan konsert ini terlaksana walaupun terdapatnya pelbagai rintangan dalam usaha membawa dua kumpulan jenama besar ini.
“Memang pada awalnya kita hadapi sedikit kesulitan, namun berkat dan sokongan daripada beberapa rakan penaja, Alhamdulillah konsert ini berjaya kami laksanakan.
“Kita sedia maklum, dalam keadaan industri seni sekarang bukan mudah untuk merealisasikan sebuah persembahan besar terutamanya melibatkan dua kumpulan popular dari seberang, tapi setiap masalah itu dapat kami atasi,” katanya.
Penganjur Bersama GIS Entertainment & Event, Datin Nor Azlinda Ramlee berkata, idea untuk menggabungkan dua kumpulan ini dilihat bertepatan apabila keduanya mempunyai ribuan peminat tegar mereka di Malaysia.
Ujar beliau, konsert ini bukan sahaja bakal mencipta sejarah tersendiri tetapi merupakan satu malam yang akan meninggalkan momen indah buat peminat yang hadir.
“Pada awalnya, Hatta nyatakan hasrat untuk bawa Wali Band sahaja, tetapi saya terfikir apa salahnya kalau kita bawa Radja sekali, kiranya dua kumpulan berkongsi pentas, mungkin lebih dapat sambutan kerana keduanya punyai ribuan peminat di Malaysia, dan saya pula salah seorang daripada peminat tegar kumpulan Radja.
“Idea tersebut akhirnya menjadi kenyataan, dan saya berharap agar peminat tidak lepaskan peluang untuk datang menyaksikan konsert ini kerana siapa tahu mungkin selepas ini tiada lagi kolaborasi mereka di Malaysia,” ujarnya.
Antara rakan strategik yang terlibat dalam penganjuran konsert ini termasuklah Redbox dan Three Hand Production, GGR Motor, Dua Darjat Coffee, Roerdum serta Hotel Royale Chulan.
Selain itu, penganjur juga mengadakan peraduan cabutan bertuah khas untuk penonton pada malam konsert tersebut.
Harga Tiket Pentas RadjaWali Live in Malaysia. Tiket dijual pada harga: VIP – RM977, RW 2 – RM477, RW 3 – RM277, RW 4 – RM177, RW 5 & 6 –RM477 dan RW 7 – RM377. Pembelian tiket menerusi online boleh layari: Fantopia.io, ilassotickets.com.-UTUSAN










