GEORGE TOWN : Pulau Pinang kini sedang memantau dan mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penganjuran enam acara penting sempena temasya Sukan SEA 2027 yang akan diadakan di negeri ini tidak lama lagi.
Enam acara sukan itu ialah sepak takraw, snuker & biliard, judo, tinju, ping pong serta floorball.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ketika ini, persediaan yang dilakukan berada pada tahap yang tinggi merangkumi penyediaan fasiliti, penyelarasan teknikal serta kerjasama dengan pelbagai badan sukan yang berkaitan.
“Gerak kerja telah bermula dan kami sedang menilai lokasi yang sesuai termasuk di Seberang Perai bagi memastikan akses, logistik serta kemudahan teknikal memenuhi standard pertandingan antarabangsa,” katanya selepas majlis penyampaian insentif Penang Athlete Career & Education (PACE 2025), hari ini.
Pada majlis itu, seramai 164 atlet negeri menerima pelbagai bentuk insentif yang dianggarkan bernilai RM175,377 secara keseluruhan sekali gus menjadikan PACE 2025 sebagai antara majlis penganugerahan bantuan pembangunan sukan terbesar Pulau Pinang tahun ini.
Turut menerima penghargaan pada majlis yang sama ialah 19 atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri di pelbagai kejohanan menerusi pemberian Skim Insentif Kemenangan Sukan (Skimas).
Mengulas lanjut, Daniel berkata, meskipun melakukan persiapan rapi untuk menganjurkan Sukan SEA 2027, kerajaan negeri bagaimanapun tidak akan membangunkan fasiliti baharu untuk penganjuran kesemua enam acara sukan terbabit.
“Majoriti acara sukan itu kategori ‘indoor’ dan Pulau Pinang mempunyai banyak lokasi sedia ada yang memenuhi standard pertandingan termasuk pusat konvensyen. Jadi, kita tidak perlu membangunkan infrastruktur baharu untuk tujuan itu,” ujar beliau.
Tambah Daniel, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai persediaan menjadi tuan rumah bersama selain menjalin kerjasama rapat dengan beberapa persatuan sukan kebangsaan bagi memastikan kelancaran temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.
“Kita yakin penganjuran temasya Sukan SEA 2027 secara bersama ini bukan sahaja akan melonjakkan nama negeri, malah, mencerminkan keupayaan Pulau Pinang sebagai tuan rumah yang mampu menganjurkan temasya bertaraf dunia secara tersusun dan berkualiti,” katanya.
Selain Pulau Pinang, temasya yang dijangka berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 itu turut melibatkan beberapa venue lain iaitu Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur.-UTUSAN










