KEPALA BATAS : Sebanyak 252 premis industri secara keseluruhannya telah diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dalam dua operasi berasingan sepanjang tahun ini iaitu menerusi Operasi Gempur/Lembangan dan Operasi Hazard/Lusuh.
Dalam kedua-dua operasi itu juga, sebanyak 285 tindakan penguatkuasaan telah diambil manakala 52 kertas siasatan pula telah dibuka untuk tujuan pendakwaan.
Menurut JAS negeri, bagi Operasi Gempur/Lembangan yang dilaksanakan sebanyak 12 kali iaitu sehingga 15 Disember lalu, sebanyak 229 premis industri telah diperiksa dengan 215 arahan di lapangan serta 70 notis arahan dikeluarkan terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, satu Penahanan Operasi Kelengkapan dan 44 kertas siasatan tawaran kompaun juga telah dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Efluen Perindustrian) 2009, PPKAS (Kumbahan) 2009, PPKAS (Udara Bersih) 2014 dan PPKAS (Buangan Terjadual) 2005.
“Operasi ini melibatkan tujuh pasukan dengan kekuatan 20 anggota penguat kuasa JAS Pulau Pinang dan memberi tumpuan terhadap premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air yang berada di dalam kawasan lembangan sungai utama seperti Sungai Juru dan Sungai Jawi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam pada itu, katanya, Operasi Hazard/Lusuh yang memfokuskan aktiviti memproses e-waste tanpa lesen atau tanpa kebenaran pula dilaksanakan sebanyak 11 kali sepanjang tahun ini dengan melibatkan pemeriksaan terhadap 23 premis industri.

Katanya, selain polis, operasi itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Daripada keseluruhan premis yang diperiksa itu pula, sebanyak lapan kertas siasatan berjaya dibuka dengan empat kes telah selesai selepas dibawa ke mahkamah iaitu melibatkan denda sebanyak RM180,000 manakala baki empat kes lagi masih dalam tindakan mahkamah,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, JAS negeri memaklumkan, kedua-dua operasi tersebut bertujuan meningkatkan pematuhan oleh pihak industri terhadap keperluan perundangan selain memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara.
“Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan premis industri mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya,” katanya yang memberitahu, sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh dibuat dengan melayari laman sesawang aduan https://[email protected] dan sebagainya.-UTUSAN










