BUTTERWORTH : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang komited memperkasakan langkah penguatkuasaan yang lebih efisien bagi memastikan projek pembangunan di negeri ini mematuhi syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengarahnya, Norazizi Adinan bagaimanapun berkata, aduan berulang membabitkan projek EIA masih didapati berlaku dan penggerak projek sewajarnya melaksanakan kawalan serta pengawasan alam sekitar secara efektif terutamanya di kawasan-kawasan sensitif dan berkepadatan penduduk.
Kata beliau, ia susulan kawasan-kawasan terbabit dikenal pasti berpotensi menerima impak pencemaran secara langsung sekali gus mengundang aduan berulang daripada penduduk setempat.
“Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 54 projek didapati patuh manakala 53 projek lagi tidak mematuhi syarat kelulusan EIA manakala bagi tempoh antara Januari lalu sehingga bulan lepas pula, sebanyak 30 projek didapati patuh syarat manakala 27 projek tidak mematuhi syarat ditetapkan.
“Selain itu, kita turut menerima 33 kes aduan projek EIA pada tahun lalu dan dari Januari sehingga Jun lepas, 25 aduan kes dilaporkan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Alam Sekitar: Kelestarian Dalam Aktiviti Industri dan Pembangunan yang dirasminan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Norazizi berkata, pihaknya berusaha menepis tanggapan segelintir pihak yang beranggapan JAS adalah penentang kepada projek-projek pembangunan setempat.
Katanya, JAS berperanan untuk menilai dan meluluskan laporan EIA iaitu laporan yang dihantar oleh penggerak projek kepada pihaknya.
“Laporan yang lengkap dan diyakini termasuklah selepas mengambil kira pandangan-pandangan agensi-agensi terlibat dan menepati kehendak jabatan, maka, kita akan luluskan.
“Sekiranya ada perkara-perkara yang belum lagi dikaji, jadi kita minta penggerak projek menerusi konsultan mereka untuk mengemas kini maklumat yang diperlukan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Sekiranya tidak lengkap juga, kita akan tolak (laporan), tetapi, itu tidak bermakna projek tersebut tidak bagus.
“Kita mahu tangani tanggapan yang salah, kerana sebenarnya kita bukan menolak projek itu, sebaliknya kita menolak laporan yang tidak menepati kriteria ditetapkan,” katanya.-UTUSAN











