48 premis industri diperiksa dalam Op Gempur

48 premis industri diperiksa dalam Op Gempur

BEBERAPA anggota JAS Pulau Pinang memeriksa sebuah di premis industri menerusi Op Gempur yang dijalankan di sekitar kawasan Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 48 premis industri di beberapa kawasan sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya diperiksa dalam Operasi Gempur (Op Gempur) Zon Utara yang bermula Selasa lalu hingga semalam.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang berkata, operasi itu diadakan bertujuan memastikan pematuhan yang baik berkaitan perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“Op Gempur Zon Utara ini dijalankan bermula Selasa hingga semalam, melibatkan pemeriksaan 48 premis industri sekitar daerah Timur Laut (Sungai Pinang, Jelutong dan Georgetown) serta daerah Barat Daya meliputi kawasan sekitar Bayan Lepas, Batu Maung, Sungai Tiram.

“Pemeriksaan dibuat ke atas industri dan punca pencemar yang berpotensi mempunyai risiko yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan premis yang sentiasa mendapat kekerapan aduan dan premis yang belum pernah diperiksa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, JAS telah mengambil tindakan tegas terhadap 10 buah premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“17 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah perundangan tersebut yang merangkumi 10 Notis Arahan dan tujuh kertas siasatan dibuka terutama melibatkan kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual,” katanya.

Jelas beliau, operasi itu dijalankan dengan kerjasama JAS Perak, JAS Kedah dan JAS Perlis serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan melibatkan 13 pasukan yang terdiri daripada 40 anggota.

“Operasi pengilangan yang terlibat dalam pemeriksaan kali ini termasuk industri berasaskan plastik, industri kimia, pengilangan logam, industri berasaskan getah, industri kertas, makanan, tekstil, percetakan, bengkel serta elektrik dan elektronik,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Op Gempur ini telah berjaya mencapai objektifnya dan operasi seumpama ini yang melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan berkaitan jenayah alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN