Op Gempur: JPJ KL keluar 1,672 saman  

Op Gempur: JPJ KL keluar 1,672 saman  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengeluarkan sebanyak 1,672 saman dalam tempoh 17 hari pelaksanaan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan sejak 1 September lalu.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 8,225 kenderaan diperiksa melibatkan 3,389 kenderaan barangan dan 4,836 kenderaan perkhidmatan awam. 

“Daripada jumlah tersebut, 575 kenderaan dikenakan tindakan manakala lapan daripadanya disita kerana kesalahan serius dan berulang,” katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Hamidi berkata, operasi yang berlangsung sehingga 31 Disember itu memberi tumpuan kepada kesalahan utama seperti memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, lesen serta insurans tamat tempoh dan ketidakpatuhan spesifikasi pembinaan serta penggunaan kenderaan.

Katanya, kesemua kesalahan itu melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta kaedah-kaedah berkaitan yang berkuat kuasa.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selepas peningkatan insiden kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang berpunca daripada kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah serta sikap pemandu yang cuai,” jelasnya.

Beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemilik dan pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Mereka yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tegas termasuk saman serta penyitaan kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan advokasi dan pendidikan diterapkan sepanjang operasi melalui sesi penerangan kepada pemandu serta pemilik kenderaan yang diperiksa.

“Langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan maut dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan awam dan barangan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN