Projek IBS ibarat 'game changer' tangani isu sekolah padat

Projek IBS ibarat ‘game changer’ tangani isu sekolah padat

FADHLINA Sidek ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu sekolah padat terbukti menerusi pelaksanaan projek pembinaan infrastruktur baharu berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sejak projek itu dimulakan pada bulan Mei yang lalu, sebanyak 20 buah sekolah berkonsepkan IBS telah berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut masa yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, ini antara pendekatan dan reformasi penting yang sedang berlaku di peringkat KPM ketika ini.

“Saya melihat pembinaan ini sebenarnya memberi kesan langsung (terhadap isu sekolah padat) dan bagi saya, ia merupakan satu ‘game changer’ dalam soal infrastruktur,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, buat masa ini, projek IBS melibatkan 127 pembinaan di seluruh negara dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor iaitu negeri yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara di Malaysia.

“Kita melihat, nampaknya pendekatan ini (projek IBS) antara pendekatan yang paling efektif setakat ini dalam menangani isu sekolah padat.

“Jadi, insya-Allah, tahun hadapan, kita akan buat secara besar-besaran selain akan memastikan bahawa keseluruhan kelas digunakan sepenuhnya sempena pembukaan sekolah baharu nanti,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN