Polis tahan warga emas, bongkar kegiatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

Polis tahan warga emas, bongkar kegiatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

SEBAHAGIAN daripada peralatan yang dirampas susulan serbuan yang dilakukan ke atas premis yang menjalankan operasi perlombongan bitcoin yang disambungkan secara haram ke sumber bekalan elektrik di Jalan Ayer Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang.-GAMBAR/IBU PEJABAT POLIS DAERAH (IPD) BARAT DAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Polis berjaya membongkar satu kegiatan mencuri arus elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang digital (bitcoin) susulan penahanan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun dalam serbuan yang dilakukan di beberapa premis di sekitar Jalan Ayer Putih di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.01 malam itu, sebanyak 30 mesin perlombongan bitcoin, satu kotak dan satu beg berisi pelbagai jenis wayar serta sebuah modem TP-Link turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, selain anggota polis, serbuan itu turut disertai oleh pasukan Seal Team Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, hasil serbuan mendapati, premis yang diserbu itu telah diubah suai bagi menempatkan puluhan mesin ‘cryptomining’ yang disambungkan secara haram ke sumber bekalan elektrik.

Dalam hal ini katanya, pihak TNB juga telah mengesahkan bahawa wujudnya aktiviti mencuri arus di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dengan anggaran kerugian mencecah RM22,744 akibat penggunaan tanpa meter.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerugian,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Anuwal, ketika ini juga, polis sedang melengkapkan siasatan bagi mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat mengurus dan menyelenggara operasi perlombongan haram tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN