Polis rakam keterangan lima individu kes lelaki maut dipukul guna cangkul - Utusan Malaysia

Polis rakam keterangan lima individu kes lelaki maut dipukul guna cangkul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

LUMUT: Polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki warga emas yang disyaki dipukul menggunakan cangkul di sebuah rumah di Kampung Koh, Manjung pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, individu terbabit terdiri daripada pengadu yang juga adik kepada si mati yang merupakan orang pertama menemui abangnya dan seorang pakar forensik.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan suspek bagi membolehkan motif kejadian itu dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi laporan media semalam, seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di ruang tamu rumahnya di Kampung Koh, Sabtu lalu.

Mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh ahli keluarganya pada pukul 12 tengah hari.

Pemeriksaan pasukan polis di lokasi kejadian menemui sebatang cangkul yang dipercayai digunakan suspek sebagai senjata dalam insiden tersebut.

Berdasarkan hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, punca kematian lelaki itu disebabkan oleh kecederaan tumpul dan tajam yang serius pada bahagian kepala. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN