Polis gesa saksi tampil bantu siasatan, mahu spekulasi pembunuhan dihentikan

Polis gesa saksi tampil bantu siasatan, mahu spekulasi pembunuhan dihentikan

SUSPEK (depan) yang dipercayai membunuh isterinya di rumah mereka di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam ditahan bagi membantu siasatan.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis menggesa saksi kejadian atau mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung tragedi pembunuhan seorang wanita oleh suaminya di rumah mereka di Seberang Jaya di sini supaya tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes itu.

Ketika ini katanya, suspek telah ditangkap dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ketika ini juga, siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti motif serta punca sebenar kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Helmi memberitahu, suspek sebelum itu mengakui bahawa dia telah membunuh isterinya di rumah mereka kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Helmi berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kemudian dikerah ke lokasi dan menjumpai mangsa iaitu si mati dalam keadaan terlentang di atas tilam dalam sebuah bilik.

“Ketika dijumpai, wanita tersebut lengkap berpakaian dan hasil siasatan mendapati, dia dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari yang lalu.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik di Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat,” katanya yang memberitahu, Pasukan Forensik D10 dari Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang berada di lokasi turut mengambil beberapa sampel berkaitan kejadian selain menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 28 tahun dikatakan bertindak kejam apabila bukan sahaja membunuh isterinya, malah, menyimpan mayat wanita itu dalam sebuah bilik di rumah mereka selama empat hari.

Difahamkan, mangsa yang berusia 44 tahun itu merupakan ibu kepada lima orang anak dan berkahwin dengan suspek kira-kira dua tahun yang lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN