PNB laksana zakat al-Mustaghallat secara Khultah mudahkan pemegang unit ASNB tunai kewajipan

PNB laksana zakat al-Mustaghallat secara Khultah mudahkan pemegang unit ASNB tunai kewajipan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memperkenalkan kemudahan zakat melalui kaedah al-Mustaghallat secara Khultah (kolektif) ke atas Dana Harga Tetap yang diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mulai pertengahan tahun 2026.

Zakat ke atas Dana Harga Tetap itu hanya akan ditawarkan kepada pemegang unit beragama Islam bagi akaun ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3.

Melalui kaedah al-Mustaghallat secara Khultah itu, zakat ditetapkan pada 2.57 peratus daripada jumlah tanpa modal pelaburan pemegang unit.

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Rick Ramli berkata, zakat melalui kaedah itu dapat memastikan zakat dikeluarkan tidak mengurangkan nilai modal pelaburan, selari dengan objektif utama pelaburan, iaitu untuk menjana pendapatan daripada dana dilaburkan.

Beliau berkata, kaedah itu juga lebih bersesuaian untuk pelaburan dalam unit amanah tetap kerana sumbangan diberikan daripada pengagihan pendapatan dan bonus (jika ada) bukannya transaksi jual beli unit amanah tersebut.

Tambahan pula, kaedah itu disifatkan lebih mudah, berkesan dan sistematik kepada pemegang unit ASNB bagi menunaikan kewajipan masing-masing.

“Selaras dengan ini, pihak ASNB bercadang untuk memperkenalkan mekanisme yang membolehkan pemegang unit memilih sama ada menerima pengagihan pendapatan penuh atau pendapatan bersih selepas zakat, iaitu 2.57 peratus daripada pengagihan pendapatan bagi Dana Harga Tetap ASNB iaitu ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3.

“Zakat terkumpul akan disalurkan kepada Pusat Zakat Negeri untuk diagihkan kepada asnaf mengikut ketetapan pihak berkuasa zakat,” katanya pada sesi taklimat media berhubung Penilaian Zakat Bagi Dana Harga Tetap Melalui Kaedah Zakat al-Mustaghallat Secara Khultah, baru-baru ini.

TIMBALAN Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Rick Ramli bersama Ketua Pengurusan Syariah Kumpulan, Dr. Ahmad Basri Ibrahim pada sesi taklimat media berkaitan kemudahan zakat al-Mustaghallat secara Khultah yang akan diperkenalkan ASNB mulai tengah tahun depan.

Zakat al-Mustaghallat adalah harta baharu yang diperolehi melalui proses sewaan dan penggunaan harta asal yang tidak dizakatkan.

Ia boleh dikenakan terhadap semua harta yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan dengan cara sewaan atau jualan hasilnya seperti hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis, perniagaan dan sebagainya.

Pada dasarnya, bangunan atau aset tersebut tidak dikenakan zakat, tetapi jika digunakan bagi mendapat hasil kewangan melalui sewaan atau pajakan, maka semua harta tersebut menjadi al-Mustaghallat iaitu harta yang bukan lagi keperluan asas untuk pertanian atau kediaman atau lain-lain kegunaan.

Mengulas lanjut, Rick berkata, kemudahan itu diperkenalkan susulan persetujuan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa penilaian zakat bagi Dana Harga Tetap dibolehkan menggunakan kaedah al-Mustaghallat, iaitu pengiraan zakat ke atas pengagihan pendapatan sahaja, pada 4 September lalu.

Katanya, kaedah sama turut dipersetujui beberapa Jawatankuasa Fatwa negeri membabitkan Wilayah Persekutuan pada 22 September; Pahang (13 Oktober); Pulau Pinang (28 Oktober); Kelantan (30 Oktober) dan Kedah (30 Oktober).

“PNB akan meneruskan perbincangan dengan negeri-negeri lain yang berbaki. Insya-Allah sebelum pelancaran kemudahan ini pada pertengahan tahun depan, kita sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja kemudahan zakat itu dilancarkan pertengahan tahun depan, PNB akan memperkenalkan dua kategori bagi akaun Dana Harga Tetap iaitu Kelas A dan Kelas B sebagai opsyen kepada pemegang unit.

Katanya, pemegang unit yang memilih untuk menyertai kemudahan zakat al-Mustaghallat secara Khultah boleh menggunakan opsyen Kelas B.

“Contoh pengiraan zakat al-Mustaghallat secara Khultah pada tahun 2024, ASB membayar pengagihan pendapatan 5.75 peratus, jika pemegang unit amanah sertai kemudahan ini, 2.57 peratus (zakat) didarabkan dengan 5.75 peratus (dividen).
“Jadi keuntungan bersih diperoleh pemegang unit amanah selepas zakat ada 5.60 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pemegang unit amanah Dana Harga Tetap akan memilih menyertai kemudahan tersebut pada setengah tahun pertama apabila ia dilancarkan kelak.

“Jika 30 peratus daripada pemegang unit amanah ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3 beragama Islam memilih mengikuti kemudahan ini, zakat yang akan disalurkan dijangka berjumlah RM60 juta (berdasarkan baki unit pegangan tahun lalu).

“Apabila kemudahan ini dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, pembayaran akan dibuat secara ‘fund by fund’ maksudnya pada Jun 2026 akan ada pengagihan ASB 3 Didik, ASM 2 pada Ogos, ASM 3 pada September dan ASB pada hujung tahunnya jadi zakat dikumpul akan disalurkan kepada pusat zakat negeri,” katanya.

TIMBALAN Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Rick Ramli.

Justeru, beliau berkata, sebaik saja kemudahan zakat itu diperkenalkan sepenuhnya, PNB mewakili pemegang unit amanah akan menyalurkan kutipan zakat sebanyak enam kali setahun membabitkan tabung ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3.

“Buat masa ini, zakat daripada pemegang unit amanah hanya dapat disalurkan kepada negeri-negeri yang sudah memberikan kelulusan penilaian zakat menggunakan kaedah al-Mustaghallat secara Khultah.

“Jadi zakat oleh pemegang unit amanah dari negeri-negeri yang masih belum memberikan kelulusan akan disalurkan kepada ibu pejabat PNB berada di negeri tersebut.

“Oleh demikian, PNB akan terus melaksanakan berhubung dengan Jawatankuasa Fatwa bagi negeri-negeri yang masih belum memberi kelulusan untuk mempercepatkan proses memberikan persetujuan supaya memudahkan pemegang unit,” katanya.

Bagaimanapun, pemegang unit amanah boleh menggunakan kaedah al-Mustaghallat mulai tahun ini dengan pengiraan dibuat sendiri oleh pemegang unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN