PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan dua agenda bagi manfaat rakyat iaitu Sahabat Penggerak Madani dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.
Pelancaran dua inisiatif itu diumumkan pada majlis penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, di sini hari ini.
Anwar berkata, SIKR 3.0 itu telah diluluskan Kementerian Kewangan baru-baru ini menerusi peruntukan awal sebanyak RM20 juta.
Menurutnya, skim itu telah bermula dan perlindungannya sejak 1 Oktober 2025 sehingga 30 September 2026.
“Bagi SIKR 3.0 ini, pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 untuk kematian semula jadi, RM26,500 kematian akibat kemalangan dan RM13,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup program itu di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Katanya, inisiatif ini adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat di negara ini.
SIKR adalah satu inisiatif kerajaan bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar eKasih mendapat perlindungan insurans.
Dalam pada itu, bagi Sahabat Penggerak Madani pula, Anwar berkata, pihaknya telah mengumpulkan seramai 3,000 sukarelawan bagi tujuan itu setakat ini.
Menurutnya, program itu bertujuan memperluas jangkauan agenda Malaysia Madani dan menyokong pelaksanaan program lapangan Akademi Kenegaraan Malaysia.
“Tanggungjawab mereka (Sahabat Penggerak Madani) adalah menyampaikan naratif kenegaraan sama ada menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih.
“Sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka, 3,000 orang ini akan mempunyai kad pengendalian rasmi, akses latihan kepada Akademi Kenegaraan dan manfaat daripada rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Sri Malaysia. Mereka ini juga akan direkodkan sebagai sukarelawan negara,” katanya. – UTUSAN










