ARAU: Kerajaan perlu mempercepatkan penyelidikan varieti padi yang tahan banjir dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.
Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Jabatan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari berkata, pelaburan dalam dalam varieti padi tahan tenggelam seperti SUB1 antaranya perlu dipertingkatkan.
Katanya, program penggunaan varieti ini perlu diperkasakan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), International Rice Research Institute (IRRI) dan institusi penyelidikan tempatan yang lain.
“Kerajaan melalui Mardi telah memulakan usaha memperkukuh ketahanan padi terhadap cabaran iklim. Contohnya dengan pengisytiharan varieti baharu MR 333 pada Ogos lalu.
“Ia dikatakan sesuai untuk kawasan jelapang dan menawarkan potensi hasil tinggi serta ketahanan terhadap penyakit dan sebahagian daripada langkah adaptasi iklim dan keselamatan makanan.
“Namun, penggunaan varieti tahan ini dan skala penyebarannya masih perlu diperluas secara menyeluruh terutama di kawasan sawah berisiko banjir atau cuaca ekstrem.
“Kerajaan perlu mempercepatkan penyebaran varieti tahan banjir ini bagi memastikan subsidi benih dan sokongan teknikal serta memadankan varieti ini dengan sistem pengurusan air dan mitigasi bencana supaya ketahanan sektor padi benar‑benar meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, Atikah Nor berkata, kerajaan juga perlu memulih dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan tebatan banjir dengan memastikan ia bersifat ketahanan jangka panjang bagi mengelak pesawah terus berdepan masalah padi tenggelam setiap kali bencana.
Katanya, selain itu, kepentingan pelaksanaan integrasi sistem pengurusan air dengan amaran dan sistem pemantauan.
Ujar beliau, penggunaan sistem maklumat geografi (GIS), sensor paras air dan sistem amaran awal banjir itu bagi memberi amaran awal kepada pesawah selain memastikan koordinasi antara agensi terlibat dapat member respon cepat apabila amaran banjir berlaku.
“Komuniti dan petani juga perlu dilibatkan dalam proses reka bentuk dan pelaksanaan tersebut kerana mereka lebih faham keunikan tanah dan sawah setempat.
“Jalankan juga program kesedaran dan latihan pengurusan air, sistem saliran, penanaman semula dan mitigasi risiko. Ini penting agar sistem bukan hanya fizikal tapi bersifat lestari melalui amalan pertanian baik,” katanya. – UTUSAN











