KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, melahirkan rasa gembira apabila menerima undangan menghadiri majlis meraikan cinta sahabat lamanya, Erra Fazira dengan pasangannya, Ezwan Zain atau Mr. E.
Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, yang pernah menjalinkan hubungan cinta dan pertunangan dengan primadona itu pada era 1990-an, menyifatkan segala yang berlaku sebagai sejarah yang sentiasa dikenang.
“Alhamdulillah, apabila dapat tahu dia mahu berkahwin, saya turut tumpang gembira. Memang kami pernah berkawan, bertunang, bergaduh dan kembali bersahabat.
“Jadi saya rasa persahabatan ini perlu diteruskan dan tidak boleh putus lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert di sebuah hotel terkemuka ibu negara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Awie turut berjanji akan mendoakan kebahagiaan Erra, selain meluangkan masa menghadiri majlis persandingan sahabatnya itu pada 27 Disember ini.
“Saya doakan dia terus bahagia dan ceria dengan hadirnya seorang suami yang dapat menjaganya. Seorang wanita berusia 50-an, memang perlukan seorang suami sebagai pelindung. Saya doakan bahagia hingga ke akhir hayat.
“Saya akan hadir ke majlis persandingan pada 27 haribulan, selepas konsert saya di Singapura. Untuk majlis akad nikah, rasanya tidak perlu saya hadir. Biar ia berlangsung dengan tenang,” ujarnya.
Terdahulu, Erra dan Awie pernah menjalin hubungan cinta selepas kedua-duanya bergandingan menerusi filem Sembilu. Mereka kemudian bertunang pada 1996 sebelum hubungan itu berakhir pada 1998. -UTUSAN










