KUALA LUMPUR: Penyanyi rock dan vokalis Wings, Datuk Awie, berlapang dada dengan pengunduran dua anggota, Eddie dan Black daripada Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi, baru-baru ini.
Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, berkata sudah menjadi lumrah bagi mana-mana ahli kumpulan berhadapan pergolakan sesama anggota.
“Perpecahan kumpulan berlaku di seluruh dunia. Tak ada satu band pun yang orangnya tersusun sampai mati.
“Jadi ia biasa dan tak perlu digusarkan dan tiada apa yang perlu digusarkan,” katanya.
Awie ditemui media selepas sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Dalam pada itu, Awie berkata turut menegaskan bahawa sentiasa menitipkan doa khusus buat kedua-dua rakannya itu.
“Sepatutnya saya tak perlu beritahu apa doa saya.
“Saya sentiasa doakan dia orang berjaya dunia akhirat, sihat tubuh badan, limpah ruah rezeki. Saya doa.
“Orang tak perlu tahu doa saya sebenarnya, tapi hari ini saya bagi tahu. Setiap sujud saya, dia orang dalam doa saya,” katanya.
Mengulas mengenai ucapan di pentas konsert yang didakwa seolah-olah menyindir pihak tertentu, Awie menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ia hanya berkaitan penyusunan lagu persembahan.
“Tak ada apa-apa. Sebenarnya itu senarai lagu saja. Kebetulan, senarai lagu dalam Wings tu ada lagu sebegitu kan. Jadi, saya cuma meluahkan sedikit rasa hati yang melalui lagu-laguan itu.
“Kebetulan, lillahi Taala saya tidak menyusun. Bila kita susun senarai lagu itu tiba-tiba macam kena sahaja. Tiada lebih daripada itu,” jelasnya.
Sebelum ini, dua anggota Wings, Black dan ‘bassist’, Eddie mengumumkan berundur daripada band rock menerusi kenyataan media pada 8 Oktober 2025.
Dengan pengunduran itu, Black dan Eddie menyatakan mereka tidak akan terbabit dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration pada 28 November lalu. -UTUSAN










