PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada Malaysia kini mempertahankan kepentingan negara atau Amerika Syarikat (AS) dalam konteks Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden AS, Donald Trump.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, isu itu timbul apabila bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mencabarnya untuk memberikan bukti syarikat AS mengambil alih status Bumiputera akibat ART.
“Sebagai jawapan, saya kongsikan Klausa 6.2(1) ART yang jelas menyatakan kerajaan Malaysia tidak boleh memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC dan tidak boleh mendiskriminasi produk AS.
“Dalam bahasa mudah, tiada keistimewaan diberikan kepada mana-mana GLC atau syarikat tempatan dalam urusan dengan AS, bermakna dasar kuota atau kepentingan kepada syarikat Bumiputera tidak boleh dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Mahathir berkata, Tengku Zafrul kemudian mempersoalkan kenyataannya dengan merujuk bahagian pengecualian ‘except for the achievement of their public service obligations’ dalam Klausa 6.2(1), kononnya ia membenarkan dasar kepentingan Bumiputera diteruskan.
“Pertamanya, apabila Tengku Zafrul merujuk kepada pengecualian ini, ia mengesahkan kenyataan saya kepentingan Bumiputera tidak dibenar oleh perjanjian ini.
“Kedua, apakah maksud sebenar ‘public service obligations’? Adakah ia termasuk kepentingan Bumiputera? Siapakah yang menentukan definisi ini? Sudah tentu bukan Malaysia sahaja tetapi AS juga,”katanya.
Dr. Mahathir berkata, keseluruhan peruntukan ART jelas memihak kepada kepentingan AS walaupun Tengku Zafrul mendakwa telah menetapkan syarat ‘red lines’ bagi mempertahankan kepentingan Bumiputera.
“Setahu saya, yang melukis red lines ialah Trump sendiri seperti dinyatakan oleh Duta Amerika ke Malaysia, Edgard D Kagan. Ia tidak dinafikan atau dibangkang oleh Anwar atau Tengku Zafrul.
“Saya rasa cukuplah Tengku Zafrul pertahankan kepentingan AS dan mulakan usaha membatalkan perjanjian yang menggadai kedaulatan negara.
“Jangan terlalu bongkak sehingga tidak mahu mengaku silap bersetuju dengan ART. Ramai pakar turut berpendapat sama,” katanya. – UTUSAN










