IPOH: Perak dibenarkan untuk mengeksport unsur nadir bumi (REE) walaupun kerajaan Persekutuan telah menetapkan moratorium eksport bahan mentah itu sehingga 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelonggaran tersebut diberi memandangkan Perak masih berada dalam fasa projek perintis, selain mengambil kira faktor pembaziran jika bahan yang telah diekstrak tidak dapat dipasarkan.
Menurutnya, kerajaan negeri menerima kebenaran khas secara berperingkat dengan setiap kelulusan dinilai dari semasa ke semasa oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum proses eksport dibenarkan.
“Perak ketika ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada industri huluan bagi tujuan pengeluaran, malah sedang bergerak ke arah pembangunan industri pertengahan untuk pemisahan unsur serta industri hiliran berasaskan REE.
“Kita mahu membangunkan keseluruhan rantaian industri NR-REE di dalam negeri. Bukan hanya mengekstrak, tetapi menghasilkan produk hiliran yang memberi nilai ekonomi lebih tinggi kepada Perak,” katanya selepas merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025, di sini semalam.
Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima kerjasama teknologi dari luar namun menegaskan Perak tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil hasil bumi negeri tanpa pelaksanaan pembangunan bersama.
“Mereka boleh datang dan berbincang, tetapi mesti bersetuju dengan perkongsian teknologi.
“Kita mahu memastikan hasil bumi negeri ini dimanfaatkan secara optimum untuk rakyat Perak,” katanya.
Kerajaan Persekutuan pada 13 November lalu memutuskan moratorium eksport REE mentah bagi tempoh 2025 hingga 2027 sebagai langkah memastikan industri pemprosesan peringkat pertengahan dapat dibangunkan dalam negara.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melancarkan dashboard perumahan Hartanah@Perak, sebuah platform digital berasaskan geospatial yang menghimpunkan data pembangunan perumahan secara telus, terperinci dan mudah dicapai.
“Platform tersebut dibangunkan melalui kerjasama UPEN (PerakGIS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), merangkumi maklumat projek perumahan termasuk perancangan, status binaan, kategori, lokasi serta penanda projek sakit dan terbengkalai,” katanya.
Menurutnya, dashboard berkenaan membolehkan kerajaan negeri memantau pencapaian sasaran Perumahan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih sistematik, selain menjadi rujukan jelas kepada PBT, agensi teknikal dan orang awam.
“Pelancaran Hartanah@Perak diadakan sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025, edisi kedua program dwitahunan yang menumpukan kepada pengukuhan penggunaan data spatial dalam pembangunan negeri,” katanya. – UTUSAN










