PETALING JAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 198,992 kematian pada tahun 2024, dengan penyakit jantung iskemia atau ischaemic heart diseases kekal sebagai punca utama kematian melibatkan 17,421 kes, bersamaan 13 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 133,844 kematian atau 67.3 peratus disahkan secara perubatan, manakala baki 65,148 kes (32.7 peratus) tidak disahkan secara perubatan.
Peratusan kematian yang disahkan secara perubatan menunjukkan peningkatan berbanding 60.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Malaysia antara negara terawal di rantau Asia-Pasifik yang menggunakan klasifikasi ICD-11 bagi penyediaan statistik sebab kematian.
Menurut beliau, penyakit jantung iskemia merupakan punca utama kematian dalam kalangan lelaki dengan 12,112 kes atau 15.3 peratus, manakala punca utama kematian bagi wanita adalah pneumonia dengan 6,776 kes (12.4 peratus).
“Penyakit jantung iskemia juga menjadi sebab utama kematian bagi etnik Melayu dan India, masing-masing mencatatkan 10,291 kes (13.9 peratus) dan 2,161 kes (17.6 peratus). Sebaliknya, pneumonia merupakan punca utama kematian bagi etnik Cina dan Bumiputera Lain.
“Selain penyakit jantung iskemia, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi dengan 15,332 kes (11.5 peratus), diikuti diabetes mellitus sebanyak 6,929 kes (5.2 peratus) dan kemalangan pengangkutan melibatkan 4,428 kematian (3.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Statistik turut menunjukkan peningkatan ketara kematian akibat kanser sejak 2001 daripada 5,231 kes kepada 19,180 kes pada 2024.
Kanser organ pencernaan merekodkan kematian tertinggi dengan 5,825 kes, diikuti kanser sistem pernafasan dan intratorasik (2,987 kes) serta kanser payudara (2,173 kes).
Mengulas faktor penyumbang, Mohd. Uzir berkata, penyakit jantung iskemia banyak dipengaruhi oleh amalan gaya hidup dan pemakanan tidak sihat termasuk merokok, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti serta kurang aktiviti fizikal.
“Kematian akibat pneumonia pula dipengaruhi kesan pasca pandemik, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun lemah dan penyakit sedia ada.
“Dari sudut kumpulan umur, pneumonia merupakan punca utama kematian bagi penduduk berumur 60 tahun ke atas serta kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun.
“Kemalangan pengangkutan pula menjadi punca utama kematian bagi golongan umur 15 hingga 40 tahun, manakala penyakit jantung iskemia mendominasi kematian penduduk berumur 41 hingga 59 tahun,” katanya.
Sebanyak 13 negeri merekodkan penyakit jantung iskemia sebagai punca utama kematian, manakala Perak, Sabah dan Sarawak mencatatkan pneumonia sebagai sebab utama.
Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat penyakit jantung iskemia dengan 3,038 kes, diikuti Johor (2,620 kes) dan Kedah (2,349 kes).
Di peringkat daerah, penyakit jantung iskemia merupakan punca utama kematian di 79 daerah pentadbiran, manakala pneumonia mendominasi di 67 daerah lain.
Dalam perbandingan antarabangsa, penyakit jantung menjadi punca utama kematian di Amerika Syarikat dan Australia, manakala kanser mendominasi di Korea Selatan, Jepun, Kanada dan Singapura.
United Kingdom pula mencatatkan demensia dan Alzheimer sebagai sebab utama kematian. – UTUSAN










