Penganggur dipenjara setahun curi motosikal Yamaha Y125ZR

Penganggur dipenjara setahun curi motosikal Yamaha Y125ZR

ANGGOTA polis semasa membawa tertuduh atas pertuduhan mencuri motosikal dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR di sebuah rumah pada Ogos lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh, Muhamad Shahrul Nizam Osman, 20, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang lelaki berusia 56 tahun di sebuah rumah di Kampung Lubuk Pukul Banggu di sini kira-kira pukul 8 malam pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.4 gram (g) dan 0.6g di kawasan Kampung Lubuk Pukul Binjai di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 2 Disember lalu.

Muhamad Shahrul Nizam dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Terdahulu, Muhammad Syamsul Ikhmal memohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Roshayati dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman yang minimum kerana pengakuan salah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa dan kos.

“Tertuduh yang tidak bekerja masih tinggal dengan ibunya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bermula hari ini bagi kes mencuri motosikal selain menetapkan 15 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia untuk dua kes dadah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN