KUALA TERENGGANU: Gara-gara melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuannya menggunakan sebilah parang, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Muhammad Amirul Fakhruddin Aminuddin, 32, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengugut dengan berkata ‘aku bahang mu dengan parang ni (aku baham kamu dengan parang ini)’ terhadap adiknya yang berusia 20 tahun.
Kejadian berlaku pada 6 Disember lalu di hadapan rumah mereka di Kampung Wakaf Chagak, Batu Rakit, dekat sini kira-kira pukul 8 malam.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan niat menimbulkan ketakutan terhadap mangsa, sekali gus melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – UTUSAN










