PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu pelaku rasuah dibankrapkan supaya mereka tidak lagi dapat menikmati hasil yang diperoleh secara haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu antara pendekatan tegas agensi berkenaan dalam memperhebat usaha pemulihan aset negara yang diseleweng, selain memastikan setiap sen dikembalikan kepada rakyat.
Menurut beliau, strategi berkenaan akan terus digerakkan pada tahun hadapan selari dengan komitmen mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah secara menyeluruh.
“Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat.
“Pendekatan lama yang lapuk perlu ditransformasikan, walaupun ada pendekatan baharu berusia setahun atau dua, ia mungkin tidak lagi relevan pada tahun mendatang, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Azam berkata, keupayaan dan kemahiran pegawai SPRM akan terus dipertingkat melalui penggunaan teknik siasatan moden.
“Ia turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara bagi mengesan aset yang hilang atau dicuri,” katanya. – UTUSAN










