PARIT: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di Kampung Gajah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap rakan sekolahnya antara Oktober dan November lalu.
Tertuduh berusia 16 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Turut didakwa di mahkamah sama, tiga rakan setingkatan pelajar itu namun ketiga-tiga remaja itu membuat pengakuan tidak bersalah bagi empat pertuduhan yang dihadapi mereka.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pertama yang merupakan pelajar Tingkatan Empat, didakwa bagi 10 pertuduhan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik asrama sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah, dalam daerah Perak Tengah pada pukul 11 malam antara 3 hingga 27 November 2025.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pelajar terbabit turut didakwa bersama tiga rakan setingkatan melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa di lokasi sama antara pukul 12 hingga 12.30 tengah malam pada 30 Oktober 2025 selain 1 dan 30 November 2025.
Dalam prosiding sama, empat remaja itu turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama pada pukul 12.30 tengah malam, 30 November 2025.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,500 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh pertama dan menetapkan 10 Februari depan untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak.
Manakala bagi tiga pelajar lain yang tidak mengaku bersalah, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang dan sebutan semula kes juga ditetapkan pada tarikh sama untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN










