KUANTAN: Pas mengumumkan pendirian rasminya menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor walaupun tidak menyertai Kabinet negeri berkenaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas sesi post mortem pilihan raya dan perbincangan dalaman Perikatan Nasional (PN) termasuk maklum balas daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, ketetapan itu turut melibatkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang memenangi satu-satunya kerusi PN pada Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.
” Saya telah menghubungi Dr. Aliakbar untuk memaklumkan bahawa pendirian parti adalah menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah. Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, perundingan dan maklum balas Presiden,” katanya selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, Pas telah mengutus surat rasmi kepada Ketua Menteri Sabah bagi memaklumkan pendirian tersebut selain disampaikan sendiri oleh Aliakbar.
Beliau berkata, hubungan baik antara Aliakbar dan Hajiji sejak sebelum ini, iaitu ketika beliau masih ADUN lantikan diyakini memudahkan pentadbiran serta pelaksanaan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang dipilih.
” Kita yakin hubungan baik yang telah terjalin membantu mengukuhkan Kerajaan Negeri Sabah dari sudut sokongan kita terhadap kepemimpinan beliau. Insya-Allah, pengalaman Ketua Menteri mentadbir negeri dan kerjasama Aliakbar mengukuhkan pentadbiran Sabah,” katanya.
Mengulas kedudukan Pas dalam PN di Sabah, beliau menegaskan tiada isu berbangkit kerana kerusi Karambunai dimenangi atas tiket Pas dan perkara itu telah dimaklumkan kepada semua pihak dalam gabungan tersebut. – UTUSAN










