Operasi MASwings beralih kepada AirBorneo mulai 1 Januari 2026 - Utusan Malaysia

Operasi MASwings beralih kepada AirBorneo mulai 1 Januari 2026

MALAYSIAN Aviation Group
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Operasi MASwings akan beralih sepenuhnya kepada AirBorneo berkuat kuasa 1 Januari 2026, susulan pemeteraian dan penyempurnaan proses pemindahan pemilikan antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan Kerajaan Sarawak.

Menurut kenyataan MAG, peralihan itu dibuat selepas proses Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani pada 12 Februari 2025 berjaya diselesaikan.

Menurutnya, bermula tarikh tersebut, AirBorneo akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab perundangan dan operasi bagi semua perkhidmatan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings, termasuk operasi penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta pengurusan berkaitan penumpang.

“Dalam fasa awal peralihan, penjenamaan MASwings mungkin masih kelihatan sementara AirBorneo melaksanakan pelancaran identiti korporat baharunya secara berperingkat,” katanya.

MAG turut menghargai kerjasama serta kefahaman penumpang, rakan strategik dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini.

MASwings ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 sebagai syarikat penerbangan komuter pertama khusus untuk Malaysia Timur, bagi memenuhi keperluan perjalanan udara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Syarikat penerbangan itu memulakan operasi dengan empat pesawat Fokker 50 berkapasiti 50 tempat duduk dan empat pesawat Twin Otter berkapasiti 19 tempat duduk, meliputi rangkaian 22 destinasi di rantau berkenaan.

Pada 2009, armada Fokker 50 digantikan secara berperingkat dengan pesawat ATR 72-500 bagi meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan pengalaman penumpang.

Mengulas lanjut, MAG berkata, komitmennya untuk memastikan peralihan yang lancar serta mengiktiraf sumbangan MASwings dalam memperkukuh kesalinghubungan udara serantau dan luar bandar selama hampir dua dekad.

“Sejak penubuhan, MASwings memainkan peranan penting dalam menyediakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), menghubungkan komuniti pedalaman dan kawasan terpencil dengan pusat bandar utama, sekali gus menyokong akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pentadbiran kerajaan, aktiviti komersial dan pelancongan.

“Sepanjang tempoh operasi, MASwings telah mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang. 

“Syarikat juga telah menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan dengan menyediakan lebih 300 pekerjaan langsung dan tidak langsung merangkumi operasi penerbangan, kejuruteraan, kru kabin, pengendalian darat dan perkhidmatan sokongan,” katanya. 

Sebagai anak syarikat MAG, MASwings turut mengukuhkan ekosistem penerbangan kumpulan dengan meningkatkan kesalinghubungan bersama Malaysia Airlines dan Firefly, sekali gus memperbaiki akses domestik dan antarabangsa untuk penumpang di Malaysia Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN